Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 30, 2014

PAS DIGESA HENTI CETUS KETEGANGAN


NGO baharu, Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) menghantar memorandum meminta Pas henti cetus ketegangan dalam PR di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Kuala Lumpur - Sebuah NGO baharu, Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) hari ini menyerahkan memorandum mendesak Pas henti mencetuskan ketegangan antara hubungan parti komponen dalam PR.

Koordinatornya, Ekhsan Bukharee mendakwa, krisis politik di Selangor berpanjangan disebabkan tindakan pimpinan Pas yang membelakangkan semangat setiakawan kerana tidak menyokong calon Menteri Besar yang dipersetujui oleh PKR dan DAP.

"Lensa melihat Pas menjadi faktor menyebabkan krisis Selangor terheret sehingga hampir lima bulan.

"Walhal konflik ini boleh diselesaikan lebih awal sekiranya Pas menghormati semangat setiakawan dalam PR," katanya selepas menyerahkan memorandum supaya Pas henti cetus ketegangan di pekarangan Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Memorandum sebanyak empat helaian itu diterima oleh Pegawai Penerangan Pas Pusat, Mohd Shahir Shahid yang mewakili kepimpinan Pas.

Mengulas lanjut, beliau menambah, Pas bertindak lewat selepas mesyuarat Pas Pusat pada 17 Ogos lalu kerana parti itu membuat pusingan U menyebabkan konflik semakin buntu.

"Pada 17 Ogos lalu mesyuarat Majlis Pimpinan PR sepakat menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor.

"Namun selepas mesyuarat tersebut Pas berkeras untuk tidak menyatakan sokongan terhadap cadangan tersebut," ujarnya.

Tambah beliau, konflik politik di Selangor semakin parah apabila pimpinan Pas secara terbuka mengkritik calon Menteri Besar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dipilih oleh rakan komponen PR.

"Lensa tidak menolak hak individu mahupun organisasi untuk mengkritik dan bersuara, namun dalam isu ini, terdapat kritikan yang berbentuk serangan peribadi terhadap pemimpin parti kawan.

"Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan sebelum ini melabelkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mengamalkan nepotisme apabila isteri beliau dipilih sebagai calon Menteri Besar yang baharu," dakwanya lagi.

Sehubungan itu, Lensa menyarankan agar Pas perlu menggesa semua pimpinan di semua peringkat untuk tidak membuat kenyataan yang boleh memudaratkan hubungan semasa rakan PR.

"Pas juga perlu menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap ahli dan pimpinan yang bertindak mengeluarkan kenyataan yang mampu menggugat keutuhan PR.

"Sekiranya Pas gagal bertindak tegas terhadap kelompok dalam Pas yang meneruskan konflik dalam PR, Lensa mencadangkan agar Pas mengambil langkah untuk berundur dari PR," katanya lagi.

0 comments:

share2