Maran - Akibat terjerat dengan ah long sehingga nyawa terancam, peminjam wang haram itu tanpa segan silu meminta bantuan zakat bagi tujuan melangsaikan hutang tersebut.
Perkara itu didedahkan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan ketika berucap menyempurnakan perasmian pembukaan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Maran, di sini.
Wan Abdul Wahid berkata, pengagihan wang zakat disalurkan untuk golongan memerlukan namun tiada kompromi kepada mereka yang terjebak dengan ah long.
Menurutnya, pinjaman ah long adalah haram seperti mana fatwa yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) kerana mengamalkan riba dan keterlaluan.
“Memang ada kes peminjam ah long datang ke PKZ dan minta wang apabila nyawa mereka terancam gara-gara gagal melunaskan hutang.
“Pihak zakat akan membantu tetapi bergantung kepada keadaan kerana kita tidak mahu wang ini disalah guna untuk membayar hutang yang jelas bertentangan dengan agama, sebaliknya kita beri bantuan agar peminjam ini dapat melakukan sesuatu sebagai sumber pendapatan sekali gus bebas daripada dibelenggu hutang,” katanya.
Pada majlis itu, Wan Abdul Wahid turut menyerahkan bantuan derma siswa RM4.97 juta dan zakat pelajar miskin kepada SMK Maran sebanyak RM10,000 manakala bantuan bantuan bencana banjir 2013 kepada Surau Al-Ijtihad Taman Gambang dan Surau Kampung Baru Sungai Chedong RM5,000 setiap surau.
Sementara RM7,000 kepada Sar Kafa Kampung Serengkam untuk bantuan sama selain menerima bayaran zakat daripada Pertubuhan Peladang Kawasan Maran, Koperasi Serbaguna Kertau serta seorang peniaga kedai emas.
0 comments:
Post a Comment