Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 12, 2014

'KEPUTUSAN GANTUNG PENGARAH LP TEPAT'


UPSR Bocor

Shah Alam – Tindakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggantung tugas Pengarah Lembaga Peperiksaan (LPM), Dr Na’imah Ishak disifatkan tepat dalam menangani insiden kebocoran soalan Ujian PencapaianSekolah Rendah (UPSR) 2014.

Ketua Biro Pendidikan, Gabungan NGO Islam Dan Melayu Malaysia (GNI), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, tindakan itu melibatkan kredibiliti Muhyiddin sebagai menteri.

“Saya menyifatkan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan menggantung Pengarah LPM adalah bertepatan dengan kes yang berlaku.

“Ini melibatkan maruah dan kredibiliti beliau selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam memegang portfolio Menteri Pendidikan. Syabas dan tahniah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap agar tiada sebarang spekulasi timbul sebelum hasil laporan siasatan dibentangkan.

“Saya berharap tidak ada sebarang spekulasi yang dibuat sebelum keputusan laporan siasatan dibentangkan.

“Saya juga berharap agar individu yang terlibat dikenakan tindakan yang paling tegas agar perkara ini tidak berulang lagi walaupun hakikatnya, kebocoran soalan UPSR/PMR/SPM telah lama berlaku cuma tidak pernah didedahkan,” katanya.

Hari ini, Muhyiddin mengumumkan Dr Na'imah digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan UPSR selesai.

Turut digantung tugas Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Misrah Ibrahim akan menjalankan tugas dan tanggungjawab pengarah Lembaga Peperiksaan dalam tempoh itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan penggantungan tugas dibuat kerana mereka perlu bertanggungjawab dalam perkara ini, dan menurutnya kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atas kebocoran soalan itu.

Susulan itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan sementara kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan.

Peperiksaan bagi kedua-dua kertas itu akan diadakan pada tarikh baharu 30 September.

0 comments:

share2