Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 2, 2014

7 PROGRAM GAMIT PELANCONG KE PERLIS



Kangar, 1 Sept (Bernama) -- Sebanyak tujuh program dirancang Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis untuk menggamit pelancong melawat Perlis bermula Ogos sehingga Disember ini.

Program bermula dengan penganjuran Perlumbaan Bot Laju Kawalan Jauh Antarabangsa Perlis di Tasik Melati 2 pada 30 dan 31 Ogos sempena sambutan ulang tahun Kemerdekaan negera ke-57, semalam.

Menurut kenyataan YTSP pada Isnin, pameran 1Malaysia Contemporary Art Tourism (1MCAT) Art Boot Camp akan berlangsung di Homestay Kampung Paya Guring dari 5 hingga 7 Sept dan Royal Perlis Cart Prix Asia Rotax Max Challenge 2014 di Litar Go-Kart Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra pada 13 dan 14 Sept.

Asean Orienteering Grand Finale 2014 pula akan berlangsung di Hutan Lipur Bukit Ayer, Taman Rimba Herba pada 20 hingga 21 Sept dan pameran 1MCAT Lukisan Perlis berlangsung di Galeri Seni Lukis Perlis di Simpang Empat dari 11 hingga 13 Okt.

Perlis International Rally pula dijadual berlangsung di Ladang Tebu Chuping selama dua hari bermula 29 Nov dan Festival Muzium, di Muzium Kota Kayang bermula 26 Dis hingga 28 Dis, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, UniMAP juga akan menjadi tuan rumah Kejohanan Woodball Universiti Sedunia 2014 mulai 21 Okt hingga 26 Okt ini.

19 negara, termasuk Jepun, Taiwan, Hong Kong, Mongolia, Nepal, Korea, Indonesia, Thailand, Vietnam, Uganda, Singapura, Maghribi, India, Bangladesh, Rusia, Kenya, Afghanistan dan China dijangka mengambil bahagian dalam sembilan kategori yang dipertandingkan.

Dalam perkembangan berkaitan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini, berkenan melancarkan 'Promosi Negeri Perlis' di Hotel Grand Inna Muara di Padang, Sumatera Barat, Indonesia.

Program dianjurkan dengan kerjasama BMC Travel, pejabat Tourism Malaysia Medan, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Perlis, YTSP dan Festival Busana Muslim (IFF) Padang 2014.

Turut hadir, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Sebanyak 1,000 brosur diedarkan kepada pemain industri dan masyarakat setempat bagi memperkenalkan Perlis dan majlis turut diserikan dengan pertunjukan IFF Padang 2014 yang dihoskan Tourism Malaysia.





0 comments:

share2