Alor Setar: Kemunculan premis hiburan baharu di negeri ini termasuk majoritinya menawarkan khidmat perjudian dan persundalan, disyaki angkara ‘tangan ghaib' individu tertentu di peringkat Pejabat Daerah, terutama sekitar selatan Kedah.
Golongan itu disyaki aktif memberi lesen sementara kepada pengusaha premis hiburan karaoke, judi atau rumah urut, sedangkan kerajaan negeri sudah membuat ketetapan tidak lagi meluluskan lesen hiburan baharu sejak akhir tahun lalu.
Tidak bertanggungjawab
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrulhisham Hashim, mengesahkan wujud amalan tidak bertanggungjawab itu dalam kalangan individu di pejabat daerah tertentu.
Beliau enggan mendedahkan identiti mana-mana pegawai atau kakitangan dimaksudkan termasuk pejabat daerah yang dikesan berdepan terbabit dengan perbuatan itu.
“Kita ada terima maklumat mengenai amalan sedemikian. Kami dimaklumkan, ada individu di Pejabat Daerah yang keluarkan lesen sementara kepada pengusaha premis hiburan untuk beroperasi, sedangkan lesen sedemikian tidak wujud.
“Kita sedang kumpul maklumat dan sudah mengenal pasti beberapa kakitangan atau pegawai yang terbabit dalam pengeluaran kelulusan kepada pengusaha premis hiburan atas nama lesen sementara,” katanya kepada BH di sini.
Oktober tahun lalu, Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah membuat ketetapan, lesen hiburan tidak akan dikeluarkan lagi di Kedah, manakala premis sedia ada yang melanggar syarat akan dikenakan tindakan tegas termasuk ditarik balik lesen masing-masing.
Wujud 500 pusat hiburan
Berdasarkan rekod, ada lebih 500 pusat hiburan berdaftar di seluruh Kedah dengan majoritinya sekitar daerah Kuala Muda dan Langkawi dengan masing-masing 235 dan 158 lesen. Selain itu, 45 lesen dikeluarkan bagi premis sekitar Kulim, Kubang Pasu (26), Baling (17), Sik (satu), Padang Terap (32), Pendang (11), serta masing-masing lima di Bandar Baharu dan Pokok Sena.
Mengulas lanjut, Badrulhisham berkata, siasatan dijalankan merangkumi semua aspek termasuk tujuan lesen sementara itu dikeluarkan.
Beliau berkata, hubungan di antara kedua-dua pihak iaitu pengusaha pusat hiburan yang diberi lesen sementara dengan pegawai yang terbabit juga disiasat, kerana dikhuatiri mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan.
Katanya, amalan itu menjejaskan imej kerajaan negeri kerana sejak membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Kedah menetapkan tiada lesen baharu bagi premis hiburan, lebih-lebih lagi membabitkan kawasan majoriti Melayu.
“Kita khuatir, pertambahan pusat hiburan di Kedah mencetuskan tanggapan negatif kononnya ia disokong kerajaan negeri.
“Masyarakat sering menuding jari ke arah pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai punca kewujudan atau kemunculan premis hiburan di negeri ini, sedangkan kelulusan sebenarnya dikeluarkan pejabat daerah.
“Jadi isu ini akan kita tangani sebaik mungkin untuk mengelak daripada terus berleluasa sehingga menimbulkan persepsi dan salah anggap terhadap PBT atau kerajaan negeri,” katanya.
0 comments:
Post a Comment