Georgetown - Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu Anggota Parlimen Temerloh daripada Pas, Nasrudin Hassan Tantawi memohon maaf berhubung kenyataannya dalam isu projek terowong dasar laut bernilai RM4.63 bilion yang dikatakan diberi secara rundingan terus.
Beliau berkata, sekiranya Nasruddin gagal membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya berhubung kenyataan tidak benar yang dikeluarkan.
"Jelas sekali penipuan yang dibuat oleh Nasruddin, kerana projek terowong dasar laut itu diberikan secara tender terbuka kepada Construction Zenith BUCG Bhd dan bukannya rundingan terus seperti yang disebarkan.
"Kos keseluruhan projek adalah RM3.6 bilion dan bukannya RM4.63 bilion. Penipuan Nasruddin diteruskan lagi kerana kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat tidak pernah mengalami bajet defisit sebaliknya mencatatkan lebihan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Guan Eng berkata, demikian bagi mengulas kenyataan Nasruddin dalam sebuah portal yang mempersoalkan tindakan yang dikenakan terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung isu lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex).
Dalam kenyataannya, Nasruddin juga mempersoalkan kepimpinan Pakatan Rakyat yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Lim berhubung projek terowong dasar laut yang didakwa dianugerahkan kepada Zenith secara rundingan terus.
Nasruddin juga menyatakan tiada langsung suara pimpinan dalam Pakatan Rakyat untuk menegur sikap Ketua Menteri Pulau Pinang yang berani berbelanja besar untuk projek berkenaan dengan kewangan yang kritikal sedangkan projek tersebut juga menerima bantahan penduduk dan banyak pihak sama seperti Kidex.
0 comments:
Post a Comment