Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 30, 2014

POLIS PANTAU LOKASI 'PANAS'


Mazlan memeriksa barisan sempena majlis Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat SSPDRM di IPK semalam.

Kota Bharu - Polis Kelantan akan memantau setiap lokasi ‘panas’ dan mengadakan sekatan jalan raya di sekitar negeri ini pada malam sambutan ambang merdeka 30 Ogos nanti, bagi memastikan tiada sebarang insiden yang boleh menimbulkan kekacauan di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, langkah terbabit dilakukan bagi memastikan rakyat di negeri ini dapat merayakan sambutan hari kebangsaan dan menghayatinya dalam suasana meriah namun sederhana.

“Kita tidak mahu nanti pada masa sambutan, ada pihak yang membakar mercun dan membaling bahan bakar itu sesuka hati yang mana akan mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan ketidakselesaan kepada masyarakat setempat.

“Jadi kita harap sambutan terbabit dapat dirasai oleh semua pihak dalam keadaan aman di samping dapat menghayati erti kemerdekaan dan mengenang kembali jasa pejuang terdahulu,” katanya kepada media di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Pingat Kebaktian kepada anggota pangkat rendah dan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) 2014 di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) di sini semalam.

Terdahulu, 68 anggota SSPDRM termasuk pegawai dan anggota dinaikkan pangkat sebagai Asisten Superintenden (ASP), lapan sebagai Inspektor, seorang Sub Inspektor, tiga sebagai Sarjan Mejar (SM), 18 Sarjan dan 35 sebagai Koperal.

Sementara itu Mazlan berkata, anggota SSPDRM turut ditempatkan di kawasan-kawasan sekitar Kota Bharu yang menjadi kepada penyumbang kadar jenayah negeri ini bagi membantu anggota dan pegawai Kontinjen Kelantan membanteras jenayah.

“Mereka perlu sedar bahawa khidmat dan jasa mereka diiktiraf oleh PDRM dan diharapkan dengan penganugerahan ini dapat menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berkhidmat dalam SSPDRM.

“Di samping itu, kita turut mengalu-alukan lebih ramai lagi menyertai SSPDRM di negeri ini memandangkan masih terdapat 450 kekosongan jawatan dalam pasukan terbabit," katanya.

Beliau menyarankan, masyarakat yang mempunyai kelayakan supaya segera memohon untuk menyertainya dalam siri pengambilan terdekat di sekitar balai-balai berdekatan dan pusat latihan yang berhampiran.

0 comments:

share2