Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 18, 2014

MAJLIS SYURA ULAMAK PAS SOKONG KHALID KETIKA MASIH DALAM PKR - HADI


Majlis Syura Ulamak PAS sokong Khalid ketika masih dalam PKR - Hadi

Kuala Lumpur: Majlis Syura Ulamak PAS menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor ketika Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu masih bersama PKR, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Harakahdaily melaporkan Abdul Hadi berkata, sekarang masalah itu tidak lagi timbul memandangkan Abdul Khalid bukan lagi ahli PKR.

“Maka masalah itu sekarang tidak timbul lagi. Malah Khalid dilaporkan menghargai keputusan dibuat PAS semalam,” Abdul Hadi dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily.

Jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuaratnya semalam memutuskan untuk menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid.

Sementara itu ketika mengulas cadangan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hanya mencadang nama Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor, Abdul Hadi berkata perkara tersebut diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memutuskannya.

“Majlis Pimpinan mengambil maklum Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Azmin Ali diputuskan sebagai cadangan mengisi jawatan menteri besar.

“Sebaliknya Azmin menghormati keputusan partinya, ini maknanya kita serah kepada Sultan untuk putuskan dengan satu nama nama yang diangkat,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat turut menghargai pendirian PAS kekal bersama Pakatan Rakyat dan keperluan menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Ditanya kemungkinan Khalid membubarkan DUN, katanya itu terpulang kepada rakyat kerana kuasa membubar DUN hak sultan.

“Kita tidak boleh campur tangan. Kalau Tuanku bubar maka kita terima realiti. Namun kita harap tidak berlaku begitu,” katanya.

0 comments:

share2