Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 26, 2014

KUANTAN: POLIS PAHANG RAMPAS 11,440 KOMPUTER JUDI RM11J

Kuantan - Sebanyak 11,440 unit komputer dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian internet di seluruh negeri berjaya dirampas polis sejak Januari hingga Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Zakaria Ahmad berkata, rampasan yang dianggarkan bernilai RM11 juta itu membuktikan pihak polis tidak pernah berkompromi terhadap kegiatan perjudian yang kini menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat.

"Pihak polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sering melakukan serbuan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan itu daripada terus berleluasa.

"Berdasarkan statistik, sepanjang tahun lepas polis berjaya merampas 5,636 unit komputer bernilai RM5.6 juta yang dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian berbanding tempoh yang sama tahun ini, jumlah rampasan meningkat sebanyak 5,804 unit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, jumlah rampasan wang tunai juga mencatatkan peningkatan daripada RM97,300 tahun lepas kepada RM203,580 tahun ini.

Zakaria berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti dalang kegiatan terbabit dan kini sedang mengemaskini sejumlah fail siasatan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (POCA) terhadap penganjur kegiatan perjudian itu.

0 comments:

share2