Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 9, 2014

KUANTAN - CEROBOH ISTANA SULTAN PAHANG


Tertuduh yang didakwa menceroboh kediaman istana milik Sultan Pahang, dibawa keluar daripada kamar mahkamah, dekat sini, semalam.

Kuantan – Seorang peniaga pasar malam dikenakan ikat jamin RM7,000 setelah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, dekat sini, semalam atas dua pertuduhan melakukan pencerobohan dengan memasuki istana milik Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diminta pihak berkuasa.

Tertuduh, Emsabil Ab Jaafar, 34, yang mohon dibicarakan telah didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 26 Julai lepas sekitar jam 9.20 malam di Istana Baharu Mahkota, Jalan Teluk Chempedak, dekat sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak sampai setahun atau denda yang boleh dikenakan sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi kesalahan kedua pada tarikh dan waktu sama, didapati gagal mengemukakan kad pengenalan oleh pihak berkuasa maka kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman di bawah peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Dalam pada itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta agar wang jaminan tersebut dikurangkan memandangkan pendapatannya sebulan sekitar RM800 dan perlu menanggung lapan adik-beradik yang lain.

Namun, bagi kesalahan pertama walaupun tidak ada jaminan ditawarkan Majistret Noor Zaihan Mohammed Ali, membenarkan sekali gus menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 berserta syarat tambahan.

Tertuduh sama sekali tidak dibenarkan berlegar-legar dan mendekati pagar istana tersebut dan sekiranya ingkar perintah mahkamah tersebut dan ditangkap jaminan tersebut akan ditarik balik serta-merta.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM2,000.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar.

0 comments:

share2