
Kuala Lipis - Seorang lelaki menemui ajal ketika dalam perjalanan ke tempat kerja kira-kira jam 6.40 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superitendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa yang dikenali sebagai Abu Daha Manlok, 63, bekerja sebagai pemandu bas Pahang Ling Siong dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Telemin, Padang Tengku menuju ke Hentian Bas Bandar Baru Lipis.
Menurutnya, sampai di tempat kejadian di kilometer 9 jalan Lipis-Merapoh berhampiran Bukit Sarang, motosikal yang ditunggangi mangsa merempuh bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di laluan yang sama.
“Akibat rempuhan berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut serta merta di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya.
Abdul Razak berkata, lori yang dipercayai membawa muatan ayam berkenaan diletakkan di bahu jalan akibat mengalami kerosakan di bahagian tayar hadapan.
“Lori tersebut mengalami kerosakan kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin dan pemandu lori itu terpaksa memindahkan kesemua muatan ayam ke sebuah lori yang lain.
“Pemandu lori berkenaan berhasrat untuk membaiki kenderaan tersebut pagi semalam namun tidak menyangka berlakunya kejadian maut itu,” katanya.
Abdul Razak berkata, ketika kejadian keadaan cuaca berkabus dan gelap serta permukaan jalan kering.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi yang mengetahui tentang kejadian berkenaan diminta tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membantu siasatan.

0 comments:
Post a Comment