Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 28, 2014

HARAP GENCATAN SENJATA BERTERUSAN


Letupan kuat dari bedilan tentera Zionis di wilayah Gaza baru-baru ini.

Kuala Lumpur - Duta Palestin di Malaysia, Dr Anwar H. Al Agha berharap gencatan senjata di Gaza yang diumumkan pada malam Selasa dapat bertahan "untuk tempoh yang lama" dan keadaan tenang akan kembali di negara itu.

"Kami berharap Israel akan sedar makna keamanan dan menghentikan pembunuhan, hentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin," kata beliau kepada Bernama dalam satu wawancara.

Beliau juga berharap pemimpin Israel yang bertanggungjawab bagi kematian lebih 2,000 orang termasuk orang awan Palestin, sepanjang serangan besar-besaran ke atas Gaza, akan dibawa ke mahkamah jenayah antarabangsa.

Mereka harus bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di Gaza, kata beliau.

"Saya fikir kali ini mereka (Israel) amat mengambil berat mengenai gencatan senjata kerana manfaat mereka juga terjejas kerana mereka tahu bahawa mereka telah melakukan kesilapan terhadap orang awam kami di Palestin," kata duta itu yang baru sahaja kembali daripada Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

Menurut laporan berita antarabangsa, gencatan senjata antara Israel dan Palestin nampaknya bertahan ketika fokus beralih kepada usaha untuk mencapai persetujuan jangka panjang.

Israel dan Palestin bersetuju untuk menghentikan pertempuran selama-lamanya pada Selasa, menamatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda yang membawa malapetaka.

Duta itu berkata pencerobohan Israel, telah mengorbankan kira-kira 2,140 orang dan mencederakan 11,150 orang sambil menambah kata serangan udara Israel telah meranapkan beribu-ribu buah rumah termasuk menara tinggi dan masjid di Gaza.

Ketika ditanya peranan Malaysia dalam konflik itu, Dr Anwar berkata Malaysia boleh memainkan peranan penting di arena antarabangsa.

Malaysia juga boleh cuba menggesa beberapa negara yang bersahabat dan bersaudara untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin dan bersuara mengenai realiti.

Beliau menyangkal laporan media Israel bahawa anggota Hamas dilatih di Malaysia untuk melancarkan serangan menggunakan payung terjun.

"Oleh kerana Israel memalsukan dan mereka-reka cerita, mereka mahu menuduh Malaysia melakukan perkara lain bahawa ia melatih sesetengah rakyat Palestin dan itu tidak benar," kata beliau.

Mengenai orang awam Palestin yang cedera di Gaza, beliau berharap kira-kira 100 hingga 200 daripada mereka akan dibawa ke Malaysia untuk menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) Muslim Imran mengucapkan terima kasih kepada "masyarakat dunia yang bebas" yang berdiri teguh di belakang Gaza sepanjang pencerobohan itu.

"Usaha dan perhatian kamu amat dihargai," kata beliau.

0 comments:

share2