Georgetown - Ketua Menteri, Lim Guan Eng enggan menjawab pertanyaan wartawan berhubung isu pembinaan lebuh raya dan terowong dengan alasan akhbar pro BN turut berada dalam sidang medianya hari ini.
Guan Eng enggan menjawab persoalan itu dengan alasan kehadiran media pro BN dan meminta semua wartawan hanya menfokuskan isu utama pada hari itu mengenai pesta sukan bogel.
Pada sidang media yang berlangsung tengah hari ini, Sinar Harian memintanya mengulas kenyataan Ahli Parlimen Temerloh dari Pas, Nasrudin Hassan yang membandingkan Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) di Selangor dengan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, beliau enggan memberi sebarang ulasan dengan alasan ada media pro BN.
"Sekiranya perlu saya akan menjawab secara bertulis dan kenyataan akan dihantar kepada saudari (wartawan Sinar Harian). Saya harap saudari faham, saya tidak mahu menjawab di hadapan media pro BN, takut kenyataan saya diputarbelitkan," katanya.
Penjelasan itu menimbulkan rasa tidak puas hati wartawan Malaysiakini yang kemudian bertanya kenapa Guan Eng boleh memberi respons kepada pertanyaan wartawan pro BN (The Star) sebelum ini apabila menjawab soalannya di hadapan media pro BN yang lain.
"CM (Guan Eng) kenapa masa The Star tanya soalan boleh sahaja menjawab di hadapan media pro BN yang lain," katanya dalam nada kurang puas hati dengan tindakan itu.
Guan Eng yang meminta wartawan Malaysiakini mengulangi keluhan itu, dengan nada sedikit marah meminta wartawan membuat urusan secara rasmi bermula hari ini.
"Mulai hari ini, sila buat semua urusan secara rasmi, tolong jangan emel, whatsapp atau hantar sistem pesanan ringkas (SMS) untuk sebarang pertanyaan," katanya.
Sementara itu, pejabat Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam kenyataan media pada sebelah petang tadi, menyatakan rasa terkejut dengan serangan tanpa provokasi itu.
Pegawai Khasnya, Nor Diana Mohd Zabidi berkata, bekas Ketua Pemuda Pas Pusat itu menggunakan taktik kotor Umno untuk menfitnah Guan Eng.
Susulan itu, Ketua Menteri akan membuat sidang media pada 12 tengah hari esok untuk mengulas lanjut kenyataan Nasrudin.
"Guan Eng akan menjawab tuduhan tanpa asas itu," katanya.
Dalam ruangan Pendapat yang disiarkan dalam Sinar Harian Online hari ini, Nasrudin mengutarakan beberapa persoalan mengenai isu Kidex dengan pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Beliau pelik kenapa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) dibantai teruk kerana projek yang bukan bawah bidang kuasanya.
Namun dalam masa yang sama, ia tidak berlaku kepada kerajaan Pulau Pinang bawah pimpinan Lim Guan Eng (LGE).
0 comments:
Post a Comment