Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 19, 2014

AKTIVIS DIPUKUL ANGGOTA PPS


Cheng Guan (kiri) dan Eu Soon (tengah) menunjukkan gambar mukanya yang cedera selepas dipukul anggota PPS.

Georgetown - Seorang aktivis sosial, Ong Eu Soon cedera di bahagian muka dan mata apabila dibelasah sekumpulan lelaki yang dipercayai anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.45 malam kelmarin, Eu Soon, 51, berada dalam majlis makan malam tokong Cina di Bandar Baru Farlim sebelum sekumpulan lelaki kira-kira 10 orang yang memakai vest ungu menghampirinya.

Menceritakan semula kejadian berkenaan, Eu Soon berkata, kumpulan itu bertanya kepadanya siapakah Ong Eu Soon dan dia kemudiannya bertanya mengapa mereka mencari lelaki berkenaan.

Eu Soon berkata, ketika dia cuba mendapatkan kepastian secara tiba-tiba salah seorang daripada mereka bertindak menyerangnya dari arah belakang sebelum kesemua mereka membelasahnya dengan menggunakan topi keledar.

Akibat kejadian itu, Eu Soon cedera di bahagian muka selain mata kanannya lebam.

“Saya bernasib baik kerana ketegangan itu dapat dileraikan orang ramai yang berada di kawasan berkenaan sebelum menyelamatkan diri.

“Ketika ketegangan berlaku kerana mereka tidak suka dengan semua kritikan yang tulis terhadap kerajaan negeri melalui laman 
Facebook

,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di sini semalam.

Turut hadir, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan.

Eu Soon berkata, dia tidak tahu mengapa PPS sanggup bertindak sedemikian memandangkan dia telah lebih 30 tahun menjadi aktivis sosial yang lantang mengkritik tindakan kerajaan yang dirasakan tidak sesuai untuk dilaksanakan.

Menurutnya, perbuatan itu disifatkan sebagai melampau dan ganas.

“Saya tidak faham, PPS ini bawah kerajaan negeri dari parti yang selama ini menjanjikan reformasi dan perubahan tetapi mengapa kejadian sebegini boleh terjadi?

“Bimbang akan keselamatan saya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jelutong malam semalam (kelmarin) dan saya menyerahkan kes ini kepada polis untuk siasat,” katanya.

Sementara itu, Cheng Guan mendesak kerajaan negeri supaya mengkaji semula mengenai penubuhan pasukan PPS.

Menurutnya, tindakan ganas yang dilakukan ahli PPS bukanlah bukan kali pertama kali berlaku dan sekiranya kerajaan negeri tidak mampu untuk mengawal sikap anggota mereka ini beliau mencadangkan agar mungkin pasukan ini perlu dibubarkan.

“Perkara seumpama ini adalah serius dan kita mahu tahu adakah semua anggota-anggota PPS yang berjumlah hampir 9,000 ini ditapis terlebih dahulu.

“Kita berharap polis mengambil tindakan tegas terhadap ahli PPS yang terlibat dengan kejadian ini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Mior Farid berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan pihaknya masih memburu mereka yang terlibat dengan kejadian itu.

Menurutnya, polis juga menerima satu laporan polis yang dibuat anggota PPS yang mendakwa dipukul pengadu.

0 comments:

share2