Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 25, 2014

TMJ: PERTIMBANG LANTIKAN JURULATIH HARIMAU MALAYA

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengkaji semula pelantikan staf kejurulatihan baharu skuad Harimau Malaya yang diumumkan Isnin lepas.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu mendakwa bekas pengendali pasukan Perlis, Mohd Reduan Abdullah tidak layak membantu ketua jurulatih skuad Harimau Malaya yang baharu, Dollah Salleh kerana dikatakan menjadi punca skuad 'Singa Utara' tersingkir daripada Liga Perdana ke Liga FAM, musim depan.

Tunku Ismail turut mempersoalkan pelantikan Wan Mustaffa Wan Ismail dan Omar Salim, masing-masing selaku penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol skuad Harimau Malaya memandangkan kedua-dua individu berkenaan telah dipecat daripada Johor FA.

"Persoalan saya ialah bagaimana seseorang yang telah diberhentikan daripada peringkat negeri kerana prestasi yang lemah kemudiannya naik ke tahap yang lebih tinggi iaitu pasukan kebangsaan?

"Jika benar mereka bagus, mereka sepatutnya masih bersama pasukan Johor FA sekarang ini. Bagi saya, terdapat ramai lagi calon yang lebih berkelayakan," baginda dipetik sebagai berkata dalam laman web rasmi pasukan Johor Darul Ta'zim www.johorsoutherntigers.com.my.

Tunku Ismail bagaimanapun memuji pelantikan Dollah memandangkan jurulatih kelahiran Melaka itu mempunyai rekod cemerlang dalam melatih beberapa pasukan tempatan meraih pelbagai kejuaraan.

FAM pada Isnin lepas mengumumkan barisan kejurulatihan bagi membantu Dollah Salleh membimbing skuad Harimau Malaya untuk tempoh dua tahun.

Mohd Reduan dalam kenyataan balasnya yang disiarkan menerusi sebuah akhbar tempatan sehari kemudian, mempertahankan pelantikannya yang diputuskan sendiri oleh Dollah tanpa melibatkan campur tangan mana-mana pihak.

0 comments:

share2