Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 29, 2014

TEMERLOH : MANGSA RIBUT RAI AIDL FITRI ALA KADAR




TEMERLOH - Rata-rata mangsa kejadian ribut di Kampung Batu Kapor dan Sungai Buloh Selasa lepas, menyambut Aidilfitri hari ini secara ala kadar memandangkan rumah masing-masing masih belum dibaiki.

Bagi imam Masjid Kampung Kapor, Saleh Abdul Rahman 51, yang rumahnya ranap dalam kejadian itu, beliau sekeluarga terpaksa menumpang di rumah jiran.

"Saya membuat persiapan secara ala kadar sahaja, bagi kita orang tua tidak kisah, tetapi anak-anaklah yang penting terutamanya menyediakan makanan seperti ketupat, rendang dan sedikit kuih.

'"Bagaimanapun, saya sangat bersyukur walaupun keseluruhan rumah ranap dan musnah membabitkan kerugian RM18,000 dalam kejadian itu, semua anak-anak dan keluarga terselamat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata beliau memanfaatkan bantuan tunai RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Ugama Islam Pahang dengan menyediakan persiapan raya. 

Ibu tunggal Saniah Sulaiman, 47 tahun, pula bersyukur kerana masih boleh menyambut Aidilfitri walaupun sebahagian rumahnya roboh ditimpa pokok dalam kejadian tersebut.

"Dengan bantuan dan sumbangan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Anggota Dewan Undangan Negeri Lanchang Mohd Sharkar Shamsuddin, sedikit sebanyak telah kurangkan beban kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang juga Ketua Kampung Batu Kapor, Zambri Sulaiman 56 tahun berkata kerja-kerja membina 15 daripada 220 buah rumah penduduk yang dilanda ribut itu sudah siap 75 peratus.

"Dalam hal ini penduduk sangat terhutang budi kepada 150 anggota tentera daripada Skuadron Jurutera Kem Batu Tiga Temerloh dan Pasukan 7 Renjer Diraja Kem Batu Lima Mentakab yang menggalas tugas membaiki rumah itu.

"Walaupun hari ini mangsa ribut dan penduduk menyambut hari raya, namun bagi sebahagian anggota yang bukan beragama Islam diketuai Pegawai Pemerintah Lt Kol Chan Weng Poh tetap menjalankan kerja membaik pulih rumah mangsa terbabit yang bermula Khamis lalu," katanya.



0 comments:

share2