Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 29, 2014

TEMERLOH : ATM BANTU BAIKI 13 RUMAH ROSAK


Mohd Sharkar (tengah) menyerahkan tukul kepada Chan Weng Poh sambil disaksikan tarif sebagai simbolik kerja gotong-royong membaiki rumah mangsa ribut di Kampung Batu Kapor di sini kelmarin.


MENTAKAB – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi tumpuan untuk membaiki 13 rumah mangsa ribut yang paling terjejas teruk dalam kejadian ribut yang berlaku di daerah ini 22 Julai lalu mengakibatkan beberapa kawasan rosak teruk.

Ketua Umno Bahagian Temerloh Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ATM menerusi 150 pegawai dan anggota dari Kem Batu 3 dan Kem Batu 5 akan berkampung di beberapa kawasan yang disenaraikan untuk memasang bumbung rumah yang tercabut secara bergotong royong.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mendapatkan barangan keperluan pembinaan dan kerja membaiki rumah ini akan dilakukan oleh tentera dari dua kem ini.

“Kaedah ini telah diputuskan kerajaan negeri dan kita berasa ia paling sesuai dilaksanakan berbanding dilakukan kontraktor luar yang sudah tentu memerlukan kos yang lebih tinggi.

“Daripada 345 rumah penduduk di daerah Temerloh yang rosak terus akibat ribut ini, 13 daripadanya rosak teruk dengan keadaan bumbung tercabut dan memerlukan pembaikan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan barangan binaan yang dibekalkan kerajaan negeri kepada ATM untuk membina rumah Imam Masjid Batu Kapor Mohd Salleh Jarab 48, di sini kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Datuk Tariff Abdul Rahman, Pegawai Memerintah Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) Kem Batu 5 Leftenan Kolonel Chan Weng Poh dan Major Lai Kien Fui dari Bahagian Kejuruteraan Kem Batu 3.

Mohd Sharkar yang juga Adun Lanchang berkata, kumpulan terbabit akan dibahagikan kepada dua kumpulan besar dan akan bersama-sama menyiapkan bahagian penting rumah terbabit dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, kesemua mangsa ribut sebelum ini telah menerima bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mereka yang mengalami sedikit kerosakan boleh membaikinya sendiri dengan bantuan yang diberikan.

“Selain JKM, dan kerajaan negeri, mangsa ribut ini juga menerima bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang disampaikan sendiri oleh Tengku Mahkota Pahang,” katanya.



0 comments:

share2