Kamunting - Seorang pemilik kereta, Abdul Talib Salleh, 45, bimbang apabila kerap menerima saman atas kesalahan memandu melebihi had laju dan mendakwa ada kenderaan yang jenis, warna dan nombor pendaftarannya mirip Proton Satria Neo yang dibelinya 7 Mei lalu.
Menurutnya, selain saman kesalahan memandu melebihi had laju, dia turut menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai polis mendakwa keretanya ditahan selepas melanggar sekatan jalan raya.
"Saya syak ada individu lain yang menggunakan kenderaan jenis, warna dan nombor pendaftaran yang sama dengan kereta yang dibeli.
"Saya juga bimbang, kenderaan itu digunakan untuk kegiatan jenayah yang boleh menyebabkan saya berdepan pelbagai masalah," katanya.
Menurutnya, dua laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berhubung kejadian berkenaan.
"Saya juga harap siasatan mengenainya dapat dilakukan dengan terperinci dan mengelakkan kes ini berulang," katanya.
Sementara itu, Penasihat Pengguna Taiping, Dr Billy Toh berkata, tindakan mangsa membuat laporan polis adalah tepat kerana ia adalah isu serius.
"Malah, mangsa juga boleh meminta kenderaan atau individu terbabit yang datang berurusan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom ditahan," katanya.
0 comments:
Post a Comment