Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 16, 2014

KUANTAN - APARTMEN MUIP DI MESIR SIAP

Tengku Abdullah bersama penyumbang zakat yang disalurkan kepada MUIP di sini, kelmarin



KUANTAN – Sebuah apartmen sebelas tingkat milik Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) kini siap dibina di Nasr City, Kaherah Mesir untuk kemudahan pelajar Pahang di sana.

Yang Dipertua Muip, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, bangunan itu yang dikenali sebagai Wisma Pahang berharga RM12 juta itu telah siap dibina oleh pemaju projek dan akan mula dimasuki pelajar bermula Ogos ini.

Baginda bertitah, pencapaian ini tidak akan berhasil tanpa perancangan teliti dan kekuatan dari segi kewangan khususnya sumber zakat di pihak majlis.

“Saya dimaklumkan bahawa perancangan strategik Muip akan tamat pada tahun 2015. Oleh itu, saya ingin melihat usaha yang lebih gigih disusun ke arah pencapaian misi dan visi yang ditetapkan.

“Sambungan kepada pelan strategik ini juga perlu ada bagi memastikan kesinambungan kepada apa yang dilaksanakan sekarang ke arah budaya kerja berprestasi tinggi,” titah baginda.

Baginda yang telah menjadi penaung Muip sejak 30 tahun lalu (1984) melihat peranan Muip kini semakin relevan dalam mengubah persekitaran dalam dunia tanpa sempadan.

“Pada ketika ini, banyak pihak yang bergantung harap dengan Muip dalam menyediakan keperluan infrastruktur dan menjaga kebajikan umat Islam di negeri ini.

“Produk-produk baru zakat perlu diperbanyakkan mengikut golongan sasaran bagi membawa penerimanya keluar dari belenggu kemiskinan,” titah baginda.

Baginda juga gembira dengan kejayaan Muip yang telah mencatatkan kutipan zakat melebihi RM100 juta mulai tahun 2012.

Sehubungan itu, baginda berharap agar Muip bersedia menghadapi hari-hari mendatang dari segi fizikal dan mental bagi memastikan keperluan perkhidmatan untuk umat Islam terjamin.



0 comments:

share2