Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 27, 2014

KENANGAN AIDILFITRI TERAKHIR DI HOSPITAL


Antara jubah dan kopiah putih pilihan Allahyarham.

Tahun lalu mereka masih bersama meraikan Aidilfitri biarpun hanya di atas katil hospital, namun sambutan tetap menggembirakan hati ahli keluarga kerana bapa tersayang masih di depan mata.

Tahun ini suasana amat berbeza, walau meraikan Aidilfitri di rumah sendiri, namun tanpa kehadiran insan tersayang, Aidilfitri seolah tidak dinanti-nantikan seperti lazimnya.

Sambutan pastinya tidak seceria seperti tahun-tahun sebelumnya.

Rumah di Jalan Sultanah yang kebiasaannya dipenuhi saudara mara dan rakan taulan kini tampak hambar dan sunyi. Malah begitu terasa suasana pilu menyelubungi keluarga ini kerana inilah kali pertama menyambut Aidilfitri tanpa Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Isteri Allahyarham, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah ternyata tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila mengakui betapa sunyinya rumah itu selepas pemergian bekas Menteri Besar itu, September lalu.

“Setiap kali raya, suara arwah memecah kesunyian dengan gurau senda dan lawak jenaka. Kami sekeluarga melayan tetamu yang tiba tak putus-putus, saban tahun rumah dikunjungi ramai kenalan, ahli parti, orang ramai, dari siang hingga ke malam. Riuh rendah rumah dibuatnya tapi sekarang suasana itu tiada lagi. Terasa benar sunyinya,” katanya.

Takdir menentukan segalanya! Allahyarham kembali ke Rahmatullah pada 26 September 2013 selepas bertarung nyawa lebih tiga bulan akibat komplikasi diabetes.

“Raya kali ini terasa seperti kehilangan, seolah hilang semangat untuk bergembira di Aidilfitri ini namun saya gagahi jua demi lapan anak dan cucu-cucu,” katanya sayu.

Rindukan gurauan dan masakan Allahyarham

Sejak zaman mudanya lagi terutama ketika melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dan United Kingdom, Allahyarham memang pakar masak. Rakan-rakan sekampus sentiasa ternanti-nantikan masakan arwah, bagi mengubat kerinduan kepada masakan Malaysia.

“Arwah jadi tukang masak untuk rakan sekampus sebab arwah paling pandai masak. Sejak muda, memang arwah minat masak. Hinggakan arwah pernah bekerja di Restoran KFC di luar negara untuk menampung perbelanjaan ketika melanjutkan pelajaran,” imbas Faekah.

Menurutnya, minat memasak Allahyarham tidak pernah pudar biarpun setelah bergelar Menteri Besar (2008-2013).

“Paling tidak dapat saya lupakan, tiap kali malam raya, arwah masuk dapur memasak makanan kegemaran beliau dan anak-anak. Sebelum itu, kami sudah dimaklumkan untuk sediakan bahan-bahan masakan, kemudian arwah sendiri yang masak,” katanya.

Antara masakan kegemaran Allahyarham termasuk Nasi Arab, Sup Mulkhiya (dari Mesir), Dalca, Kurma dan kuih seri muka.

“Siapa sangka ya, semua resipi itu dalam ingatannya sahaja. Ada masa arwah masak untuk keluarga, kadang-kadang masak dalam kuantiti yang banyak dan menjamu tetamu yang hadir,” katanya.

Faekah berkata, pada malam raya, semua anak-anak berkumpul dan rumah itu kembali ceria, namun mereka agak sedih kerana selain kehilangan Allahyarham, mereka turut kehilangan seorang lagi ahli keluarga, iaitu adik Allahyarham, Azizah, Mac lalu.

“Agak hiba apabila terkenangkan kehilangan dua ahli keluarga dalam tempoh terdekat. Sejurus menunaikan solat Aidilfitri, kami sekeluarga menziarahi pusara arwah di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena,” katanya.

Menurutnya, permintaan Allahyarham ketika menyambut Aidilfitri di Hospital Pulau Pinang (HPP) tahun lalu masih segar di ingatan, ada kalanya membuatkan dirinya tersenyum sendirian gara-gara gelagat Allahyarham.

“Arwah memang suka makan ketupat sedangkan itulah makanan yang arwah kena pantang, sebab selepas makan pulut, dia berasa lemah. Bila ditegah, katanya, setahun sekali sahaja, itu yang buatkan saya tak sampai hati nak halang,” katanya, yang meraikan Aidilfitri terakhir bersama Allahyarham di HPP bersama anak-anak tahun lalu.

Jubah dan kopiah putih jadi kenangan

Sudah menjadi kebiasaan, setiap kali menjelang Aidilfitri, Allahyarham akan membeli kelengkapan di kedai pilihannya yang sering dikunjunginya sebelum bergelar Menteri Besar. 

“Saban tahun beli jubah dan kopiah putih, itulah pilihan arwah setiap kali sambut raya. Ringkas sahaja. Tak sangka, selepas arwah meninggal dunia, saya dan anak-anak sering bermimpikan arwah datang dengan memakai jubah dan kopiah putih,” katanya.

Biarpun tidak lagi bergelar wanita pertama di Kedah, namun Faekah tetap prihatin dan mengambil berat soal kebajikan kaum Hawa, apabila kini bergerak aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO).

Selaku Pengerusi Women Service League (WSL) atau Persatuan Kebajikan Wanita Kedah sejak Mac lalu, kesunyian Faekah sedikit terubat apabila sibuk dalam aktiviti pertubuhan. Beliau juga adalah Penasihat Pertubuhan Sokongan Kesihatan Kedah sejak Mac lalu.

Tan Sri Azizan Abdul Razak, 69, meninggal dunia pada 26 September 2013, pada 11.05 pagi, di wad (Unit Rawatan Rapi) ICU, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat jangkitan kuman pada darah serta kegagalan beberapa organ untuk berfungsi.

Bekas Menteri Besar Kedah itu meninggalkan dua orang isteri, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah dan Shamsiah Shafie, 14 anak dan lapan cucu.

Pada 6 Mei tahun lalu, Azizan yang mengalami masalah jangkitan kuman pada kaki dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC) sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) keesokan harinya.

Azizan yang juga Adun Sungai Limau menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit diabetes, 9 Mei 2013 bagi mengelakkan jangkitan kuman pada kaki merebak ke anggota badan lain.

Setelah lebih tiga bulan menerima rawatan di HPP, beliau dipindahkan ke HSB pada 13 Ogos. Jenazah bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu dikebumikan di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena.

Pada PRU13, Azizan mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau yang disandangnya sejak 1995, menewaskan sepupu beliau, Fazillah Mohd Ali (BN), dengan majoriti 2,774 undi.

0 comments:

share2