Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 28, 2014

KEMERIAHAN AIDILFITRI BIAR BERLANDASKAN SYARIAT



Umat Islam wajar doakan kesejahteraan ummah sedunia

1 Syawal 1435 hijrah, Aidilfitri kembali bertamu. Mengukur syukur menyingkap rasa bertuhan di hari yang penuh kegirangan menyambut kemenangan. Kejayaan beroleh ijazah takwa setelah sebulan menempuh peperiksaan Ramadan. 

Berjaya membersihkan diri kembali kepada fitrah seorang hamba dan bukanlah hanya menumpang riang gembira insan soleh pada akhir zaman saja. Sempena Aidilfitri yang disambut hari ini, semoga kita berjaya menjadi orang yang bertakwa. 

Hari ini memang hari untuk kita berhibur dan gembira. Namun, janganlah pula dengan hiburan yang menyangkal kebenaran serta menganjurkan batil, menghilangkan jati diri, kabur identiti dan masih gagal melepaskan diri daripada keseronokan hiburan.

Anas menceritakan, “Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, ada dua hari perayaan yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda SAW bertanya: Dua hari apakah ini? Jawab mereka: Kami bersuka ria pada dua hari ini di zaman jahiliah. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri.” (Riwayat Abu Dawud) 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (Surah al-Syams, ayat 7-10) 

Setelah sebulan membaja iman tidak sewajarnya kita membenarkan saat menuai buah-buah takwa iaitu Syawal dicemarkan dengan aktiviti melalaikan yang akhirnya menjadikan tarbiah Ramadan kita sia-sia.

Junjungan mulia Rasulullah SAW menganjurkan kita berhibur di Aidilfitri ini, malah Baginda sendiri pernah menegur Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah. Rasulullah SAW bersabda: Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya.” (Riwayat al-Bukhari) 
Hari ini memang hari untuk kita berhibur dan gembira. Namun, janganlah pula dengan hiburan yang menyangkal kebenaran serta menganjurkan batil, menghilangkan jati diri, kabur identiti dan masih gagal melepaskan diri daripada keseronokan hiburan.

Perbanyak takbir

Syawal juga lebih indah dengan memperbanyakkan takbir bermula ketika terlihat anak bulan Syawal pada malamnya dan berakhir setelah selesainya imam membaca khutbah. Disunatkan bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid.

Dinukilkan oleh Imam Daruqutni, “Apabila Ibnu Umar keluar pada Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat sunat hari raya.”

Telah menjadi amalan umat Islam di Malaysia iaitu mendoakan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin’. Tiada yang cacat atau celanya pada doa itu. 

Bagaimanapun, wajar untuk kita mengamalkan doa diamalkan pada zaman Baginda SAW: “Taqabbalallahu minna wa minkum yang bererti semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadah di Ramadan) kami dan kamu.”

Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, “Berkata Wathilah, aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan pada Baginda, “taqabballahu minna wa minka’, Baginda menjawab, “Ya, taqabbalallahu minna wa minka.”

Syawal itu diindahkan dengan alunan takbir membesarkan Allah yang Esa, dimurnikan dengan memohon dan memberi maaf dan seterusnya dimanfaatkan dengan amalan kunjung-mengunjung. Moga ‘benteng’ iman yang kita bina sepanjang Ramadan tidak dirobohkan dengan melakukan amalan yang biasa pada kita namun luar biasa dari sudut syariatnya. 

Tatkala berziarah, kita amat dianjurkan untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain bagi menjernihkan hubungan yang keruh, tetapi tidaklah semestinya memohon kemaafan itu perlu dengan berjabat tangan antara satu sama lain lebih-lebih lagi apabila membabitkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Jaga batasan syariat

Batasan syariat hendaklah selalu dipelihara. Menurut Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah, “Rasulullah SAW tidaklah pernah menyentuh wanita sama sekali seperti yang Allah perintahkan. Tangan beliau tidaklah pernah menyentuh tangan mereka. Ketika baiat, beliau hanya membaiat melalui ucapan dengan berkata, “Aku telah membaiat kalian.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, kemeriahan Aidilfitri kebiasaannya menjadi medan fesyen. Apa yang menyedihkan ialah kebanyakan yang ada terutama wanita memilih untuk mengenakan fesyen yang mereka sangka sudah menutup aurat tapi hakikatnya tidak. 

Contohnya, memakai pakaian yang ketat sehingga menonjolkan bentuk tubuh atau pakaian jarang yang menampakkan warna kulit walaupun memakai tudung.

Perihal kepentingan menutup aurat dengan betul ini telah dinyatakan Allah SWT melalui firman yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59) 

Ramadan mendidik kita untuk menjaga hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia. Jadikan Syawal cerminan keberkesanan latih-tubi di madrasah Ramadan. Jagalah silaturahim dan gunakan masa yang ada untuk meneruskan amalan kunjung mengunjung di hari raya. 

Jangan jadi program TV juadah raya

Inilah masanya si kecil mengenal salasilah keluarga mereka. Usah dibiarkan program televisyen menjadi juadah utama mereka di hari raya. Jangan pula kesibukan berhari raya mengganggu rutin pengabdian pada Yang Esa. Aturlah masa sebaiknya. 

Kemeriahan Aidilfitri di tanah air tidak dapat memadam pedih menyaksikan dari kejauhan saudara Islam di bumi Gaza, kepiluan misteri belum terungkai MH370 bertimpa tragedi menyayat hati MH17. Dalam sibuk berhari raya, bekalkan doa dan berilah sumbangan wang ringgit untuk mengurangkan penderitaan mereka.

Jadilah insan yang tidak mementingkan diri. Pesan Baginda SAW dalam sabda baginda: “Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, maka dia bukan daripada kalangan mereka (umat Islam).”

Penulis ialah penyampai dan penerbit rancangan Kanan IKIMfm

0 comments:

share2