Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 21, 2014

KAKI PANCING TAK SENANG DUDUK


Atan menunjukkan buaya itu timbul di permukaan air di tiang konkrit jambatan (tengah) sungai terbabit.

Sabak Bernam – Penduduk yang menjalankan aktiviti menangkap ikan dan udang di sekitar Sungai Bernam di sini, melahirkan kebimbangan dengan kemunculan buaya di sungai berkenaan sejak kebelakangan ini.

Penemuan buaya dipercayai bersaiz besar dan panjang itu mengejutkan penduduk kerana sebelum ini mereka tidak pernah terserempak reptilia itu meskipun mengakui kewujudan haiwan di sungai itu.

Penduduk, Mohd Daud, Boyot, 37, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, pertengahan Jun lalu, dia yang sedang leka memancing di dalam sampan dikejutkan dengan objek seperti kayu balak hanyut di sungai berkenaan.

“Ingatkan balak hanyut, saya pun biarkan, tapi apabila diamati saya terkejut kerana ia bukan balak, sebaliknya seekor buaya sedang menongkah air sambil mulutnya ternganga luas,” katanya.

Mohd Daud yang menetap di Kampung Bagan Nira berhampiran sungai itu berkata, dia percaya buaya yang mendiami sungai itu berusia puluhan tahun tetapi sudah lama tidak muncul di permukaan.

“Orang tua kampung ramai yang dah meninggal dunia. Mereka lebih tahu tentang buaya.

“Saya tahu sungai ini memang ada buaya, tapi tak pernah muncul, bagaimanapun sejak akhir-akhir ini heboh diperkatakan tentang buaya hingga saya sendiri nampak depan mata sendiri,” katanya.

Mohd Daud berkata, sungai yang menjadi sempadan antara Sabak Bernam dan Teluk Intan, Perak itu sering menjadi tempat pembuangan bangkai haiwan dan ia mungkin menjadi faktor utama kehadiran reptilia itu.

“Mungkin buaya yang kerap muncul di permukaan sudah tua dan dah tak larat nak cari makanan sendiri, sebaliknya memakan bangkai lembu mati yang dibuang penduduk ke dalam sungai,” katanya.

Penduduk, Atan Adnan, 48, berkata, dia yang ketika itu berdiri di tiang batu konkrit untuk memancing udang di sungai itu dikejutkan kehadiran ‘sang bedal’ berenang laju di permukaan air menuju ke pokok nipah.

“Jarak saya dengan buaya waktu itu lebih kurang 10 meter. Tiba-tiba seluruh badan saya menggigil ketakutan. Saya tak fikir panjang dan terus pulang ke rumah,” katanya.

Katanya, kemunculan reptilia itu perlu dihebahkan kepada orang ramai terutamanya kaki pancing dari luar yang datang memancing di situ supaya mereka berwaspada agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini .

“Selain itu, ibu bapa juga diingatkan supaya mengawasi anak masing-masing dan tidak membiarkan mereka bermain seorang diri di sungai,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak berwajib juga diminta melakukan pemantauan di sungai itu memandangkan ramai kaki pancing yang mendakwa terserempak dengan reptilia itu sebelum ini.

0 comments:

share2