Ratusan jenis baju, aksesori, beg, kasut hinggakan makanan ada dijual di kedua-dua pasar ini. SHUHADA MANSOR huraikan beberapa sebab kenapa remaja sekarang lebih sukakan ‘flea market’ berbanding ‘uptown’.
Jika 10 tahun lalu, ‘uptown’ boleh dikatakan antara lokasi popular tumpuan anak muda untuk membeli barangan murah dengan bajet rendah, namun kini tak keterlaluan jika dikatakan zaman kegemilangannya makin samar. Kewujudan ‘flea market’ yang semakin aktif beberapa tahun kebelakangan ini antara punca ‘uptown’ kurang pengunjungnya.
Jangan salah faham, penulis percaya pasti ada pengunjung setia uptown dari dulu hingga sekarang terutama daripada kelompok keluarga, tetapi dalam konteks anak muda, gaya membeli kini berubah. Mustahil bagi anak muda khususnya yang tinggal di bandar tidak mengetahui kewujudan `flea market’.
Tak perlu huraian panjang untuk bezakan antara ‘flea market’ dan ‘uptown’ kerana konsep kedua-dua pasar jualan ini sama seperti pasar lambak yang menjual pelbagai barangan sama ada antik atau baru, terpakai atau belum. Bezanya cuma ‘uptown’ dibuka pada malam hari manakala ‘flea market’ ada dibuka siang saja ataupun siang hingga malam. Hakikatnya, walaupun kedua-dua pasar ini menjual pelbagai jenis barang dengan harga murah, tetapi kenapa remaja lebih suka mengunjungi ‘flea market’ berbanding ‘uptown’?
SIANG LEBIH SENANG
Remaja sering dilabel suka keluar malam dan lebih memilih melakukan aktiviti di malam hari berbanding siang. Tidak dinafikan tanggapan ini ada kebenarannya, tetapi dalam hal membeli-belah atau mengisi masa terluang di hujung minggu, kita akan memilih untuk keluar siang dan melepak santai bersama rakan di sebelah malam. Justeru itu, ‘flea market’ yang dibuka pada siang hari menarik lebih ramai pengunjung terutama remaja.
Berbanding ‘uptown’, keadaannya yang sesak dan deretan kedai yang panjang sedikit sebanyak mempengaruhi ‘mood’ remaja untuk pergi membeli-belah di sana apatah lagi di malam hari. Jika masyarakat menganggap remaja sukakan tempat sesak dan bising, mungkin anda salah kerana tidak semuanya berperwatakan sebegitu dan ia boleh dilihat apabila bilangan pengunjung uptown di kalangan remaja makin berkurangan ketika ini.
Bagi kelompok Gen Y terutama si gadis yang bekerja, flea market adalah lokasi tumpuan hujung minggu bersama rakan. Pada sebelah malam pula, ramai di kalangan kita lebih memilih untuk berborak kosong dan bertemu geng di kedai mamak ataupun menonton wayang beramai-ramai.
TEMA UNIK
Di zaman serba canggih, Internet antara landasan terpenting untuk kita sebarkan maklumat. Kebiasaannya, ‘flea market’ jarang sekali diadakan setiap hari kerana penganjur lebih memilih waktu hujung minggu atau cuti umum.
Kajian mengenai sikap membeli-belah secara atas talian boleh dihubung kait dengan isu ini. Remaja antara kelompok terbesar dilabel ‘gila membeli-belah atas talian’ dan kebanyakan pemilik gerai flea market pula rata-ratanya bermula sebagai peniaga atas talian. Jadi, pelanggan setia produk mereka akan diberitahu mengenai penganjuran flea market yang disertai mereka selain potongan harga menarik diadakan.
Penulis percaya, ramai juga di kalangan peniaga uptown melakukan perniagaan atas talian, tetapi tidak semuanya mempunyai laman sosial sendiri. Flea market kebanyakannya dianjurkan golongan muda dan pendekatan diambil dengan cara lebih santai. Ada sesetengah flea market dianjurkan dengan tema tersendiri dan ada juga diadakan atas dasar jualan amal. Penulis difahamkan, gaya penganjuran flea market kini lebih menarik apabila skop tema diperincikan lagi dengan kemunculan ‘Hijabista flea market’. Berbeza daripada flea market, uptown juga mempunyai pendekatannya tersendiri, tetapi ia dilihat lebih terarah kepada kelompok keluarga.
TARIKAN PENIAGA MUDA
Bukan hanya bercakap kosong, penulis sendiri pernah berkunjung ke beberapa pasar lambak terkenal di ibu kota. Berkongsi idea dengan melihat rekaan busana jahitan sendiri, selain label pakaian anak tempatan yang ada di situ memperlihatkan sisi menarik pasar ini yang membuka ruang untuk remaja terus mengorak langkah menjadi usahawan muda bermula dengan modal kecil-kecilan.
Tidak keterlaluan jika penulis gambarkan hampir 90 peratus peniaga di flea market terdiri daripada anak muda. Mungkin disebabkan idea mereka lebih segar menghasilkan produk dengan gaya terkini antara pendorong utama remaja lebih gemar mengunjunginya.
Menariknya, acara seperti ini tidak lain bertujuan untuk mengangkat hasil seni dan reka tangan anak muda tempatan yang masih baru dalam bidang keusahawanan dan lebih mengujakan apabila tiada sebarang garis panduan diberikan kepada usahawan muda. Apa saja boleh dihidangkan kepada pengunjung sama ada label pakaian sendiri, kraf tangan unik, aksesori gaya terkini, bahkan reka bentuk makanan menarik juga boleh ditemui di sini. Pun begitu, terdapat juga flea market yang dimonopoli golongan ‘otai’ contohnya di Amcorp Mall, Petaling Jaya dikelaskan sebagai pasar lambak barang antik dan terpakai paling besar dan paling lama di Lembah Klang.
Lain pasar lambak, lain konsepnya. Namun, walau apapun pendekatan diambil, penganjurannya kini dilihat semakin agresif kerana ada bilangan pengunjung semakin bertambah setiap minggu. Tak kisahlah mana satu pilihan anda asalkan anda tahu produk mana yang berbaloi untuk dibeli, pandai tawar menawar, dan kunjungi waktu sesuai, anda dapat untungnya.
0 comments:
Post a Comment