SHAH ALAM: Pertubuhan Penjual Auto Audio, Aksesories dan Hawa Dingin Malaysia (AAA) menggesa kerajaan mengurangkan kadar Ketelusan Cahaya Nampak (VLT) bagi cermin depan kenderaan penumpang daripada 70 peratus sekarang kepada 60 peratus.
Anggota EXCOnya, James Goh, berkata ini perlu kerana sesetengah kereta penumpang seperti Proton Saga telahpun telus cahaya 72 peratus sebelum penggelapan dan ini menimbulkan masalah kepada pelanggan untuk menggelapkan cermin depan kereta mereka.
"Isunya sekarang bukan tentang pemasangan cermin gelap di bahagian depan kereta tetapi ada kereta yang telus cahaya 72 peratus walaupun sebelum menggelapkan dan ini menimbulkan masalah kepada pelanggan untuk memasang cermin gelap pada kereta.
"Akhirnya, kerja-kerja menggelapkan cermin bagi kereta yang telus cahaya 72 peratus sebelum penggelapan akan mengurangkan kadar VLT dan melanggar peraturan minimum telus cahaya 70 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan bagi cermin depan kereta penumpang.
"Nilai VLT berkurangan apabila cermin bertambah gelap," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Goh juga mencadangkan VLT cermin sisi di tempat duduk depan dan belakang dan cermin belakang ditetapkan melebihi 40 peratus.
Beliau berkata, AAA membantah cadangan pemasangan cermin gelap di bawah 35 peratus telus cahaya bagi kereta penumpang kerana ini menyukarkan pihak berkuasa untuk menjalankan penguatkuasaan.
"Sebagai contoh, pegawai penguatkuasa tidak nampak sama ada pemandu memakai tali pinggang keledar," katanya.
Goh juga mahu semua peralatan menguji VLT diselaraskan bagi memastikan pemasangan cermin gelap pada kereta mematuhi undang-undang selain mempunyai operasi yang seragam berhubung dengan VLT.
Beliau berkata, AAA akan menggemukakan satu memorandum kepada Kementerian Pengangkutan pada Selasa depan berhubung dengan permintaan oleh persatuan mengenai isu VLT itu.
0 comments:
Post a Comment