Hulu Terengganu - Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Demikian senario dihadapi keluarga Zulfikri Arshad, 48, di Kampung Bukit Perah, di sini, yang terpaksa berdepan dengan gangguan bunyi deruman enjin jengkaut dari bengkel yang beroperasi di sebelah rumahnya, sejak lebih setahun lalu.
Zulfikri berkata, selain bunyi bising, operasi di bengkel berkenaan turut menyebabkan rumah yang didiaminya sejak lapan tahun lalu mengalami keretakan terutama di bahagian dinding, akibat kesan gegaran daripada pergerakan jentera.
Menurutnya, keadaan itu benar-benar mengganggu kehidupan harian mereka sekeluarga, selain bimbang kesan retakan semakin serius boleh membahayakan keselamatan mereka.
“Bengkel membaiki jentera ini terletak bersebelahan rumah saya. Saya terpaksa menadah telinga hampir setiap hari mendengar bunyi bising. Malah, deruman enjin jengkaut benar-benar menyebabkan kami tidak selesa.
“Bukan saya sahaja, malah beberapa penduduk lain turut menerima nasib sama. Rumah juga makin retak akibat gegaran daripada pergerakan jentera. Keadaan itu menyebabkan saya sentiasa bimbang," katanya.
Akibat tidak tahan dengan situasi berkenaan, Zulfikri bersama beberapa penduduk membuat aduan kepada Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) pada 16 Februari lalu, namun sehingga sekarang belum menerima maklum balas.
“Langkah sewajarnya perlu dilaksanakan agar penderitaan kami berakhir segera. Saya pernah hadapi keadaan bising dari jam 9 pagi hingga 7 malam menyebabkan banyak aktiviti harian tidak dapat dilakukan,” katanya.
Menurut jirannya, Yusof Zainol, 59, bumbung rumahnya pernah bergegar akibat kerja membaiki jentera yang terletak kira-kira lima meter dari belakang rumahnya, selain mengakibatkan debu berterbangan ke dalam rumah.
“Bukan sahaja orang dewasa, cucu saya berusia tiga bulan pun susah nak tidur. Rumah saya terutama di bahagian dapur turut retak,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MDHT, Talaha Ali berkata, pihaknya sedia maklum dengan masalah tersebut dan sudah memanggil pengusaha bengkel berkenaan pada awal Mei lalu untuk berbincang.
“MDHT sudah maklumkan bahawa kewujudan bengkel berkenaan mendatangkan masalah kepada penduduk.
"Kami juga sudah mengeluarkan notis kepada pemilik dan berikan masa selama tiga bulan (sehingga Ogos depan) untuk memindahkan bengkel berkenaan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment