Adakah anda pernah menonton filem Fitna. Filem pendek berdurasi 15 minit ini satu ketika dahulu pernah menggemparkan dunia apabila filem ini dilihat sebagai menghina agama Islam, menghina Rasulullah SAW dan umatnya.
Ramai pemerhati berpendapat kelahiran filem ini sebagai manifestasi sikap prejudis dan Islamofobia kepada Islam dan umat Islam yang meningkat sejak kejadian serangan 11 September 2001.
Karya ini dapat dihasilkan kerana orang yang menjadi tulang belakang pembikinan filem ini adalah seorang ahli politik Party for Freedom (PPV) yang terkenal dengan anti Islam, Arnoud Van Doorn.
Sesungguhnya hidayah ALLAH tidak mengenal siapa. Orang yang dahulunya beriya-iya menghina Nabi Muhammad SAW dan umat Islam kini memeluk Islam!
Van Doorn menjelaskan antara faktor utama pengislamannya adalah apabila hati kecilnya terusik melihat penghasilan filem itu dan juga sikap partinya yang selalu memusuhi Islam.
Perasaan itu membuatkan Van Doorn mencari terjemahan al-Quran, hadis, dan buku rujukan Islam. Hari demi hari berikutnya dilalui dengan membaca dan mengkaji buku satu per satu, tanpa meninggalkan aktivitinya yang lain. Selama ini Van Doorn hanya tahu Islam daripada mulut orang yang membenci agama ALLAH ini.
“Saya mempelajari al-Quran kerana rasa ingin tahu yang menebal. Saya mula mempelajarinya setelah keluar daripada Parti PVV. Sebelum itu saya hanya mendengar cerita yang buruk mengenai Islam. Semakin banyak saya membaca semakin saya yakin Islam sesungguhnya agama yang indah dan penuh kebijaksanaan.
“Sebenarnya, sebagai penganut Kristian, banyak nilai baik yang saya pelajari daripadanya. Keadaan ini memudahkan saya untuk menerima Islam sebagai pedoman hidup. Lebih mudah untuk beralih daripada seorang penganut agama Kristian menjadi Muslim daripada seorang atheis (tidak percaya agama), kerana sebelumnya saya telah mengenal konsep kenabian, adanya malaikat dan disiplin yang selalu ada dalam mana-mana ajaran agama mana pun,” katanya.
Temui jalan hidayah
Kenalan dan individu terdekat Van Doorn tahu yang dia membaca rujukan Islam, langsung tidak terlintas di benak mereka sikapnya itu akan menjadi jalan hidayah bagi Van Doorn. Kerana lazim dalam dunia mereka, mengkaji sesebuah pemikiran atau suatu fahaman tanpa harus mempercayai dan mengikutinya. Bahkan, ramai yang mempelajari Islam kemudian menyerangnya.
Van Doorn menghabiskan waktu hampir setahun untuk mengkaji al-Quran, Sunnah dan sejumlah rujukan Islam tersebut. Dia juga sempat berdialog dengan penganut Islam untuk mengetahui lebih jauh perihal agama yang kini menarik hatinya.
Semakin lama mempelajari Islam, Van Doorn semakin tertarik. Meskipun sebelum ini dia juga memiliki asas Kristian sebagai agamanya, Van Doorn berasakan Islam itu istimewa.
Apa yang selama ini ada dalam kepalanya, Islam itu fanatik, menindas wanita, tidak toleransi, membabi buta memusuhi Barat, perlahan-lahan hilang daripada fikirannya.
Ternyata Islam sesuatu yang sama sekali berbeza dari apa yang pernah dia sangka. Islam adalah agama yang cintakan kedamaian. Tidak seperti tuduhan media Barat yang selama ini mengisahkan Islam sebagai pengganas.
Jalan hidayah bagi Van Doorn semakin terbuka lebar ketika bertemu dengan seorang Muslim bernama Abu Khoulani, rakannya yang bekerja di Dewan Kota Den Haag.
Selain menjelaskan Islam dengan lebih jauh lagi, beliau juga menghubungkan Van Doorn dengan Masjid As-Sunnah.
Dianggap pengkhianat
Tidak ada manusia yang tidak pernah diuji ALLAH SWT. Begitu juga dengan empunya diri Van Doorn.
Tidak semua yang suka dan menerima baik pengislamannya lebih-lebih lagi rakan sejawatnya dalam Parti PPV. Kebanyakan daripada mereka marah dengan perubahannya itu bahkan menganggap Van Doorn sebagai pengkhianat.
"Saya jelaskan kepada mereka keputusan ini adalah keputusan peribadi dan terpulang kepada diri ini untuk menganut mana-mana agama memandangkan setiap orang mempunyai hak untuk memilih agama dan kepercayaan.
“Walaupun ramai yang menganggap saya sebagai pengkhianat, tetapi sebahagian daripada masyarakat yang lain memberi reaksi positif. Saya juga menerima sokongan daripada masyarakat lain yang menghantar reaksi melalui Twitter.
“Saya berasa bahagia dan gembira melihat orang yang tidak mengenal saya secara peribadi menyokong dan memahami dengan pilihan yang saya lakukan,” jelasnya yang mengakui ada hikmahnya beliau pernah menjadi sebahagian daripada ahli parti PPV.
Ajak kenali Islam
Van Doorn kini berasakan telah menemui pedoman hidupnya dan beliau ingin mengajak mereka yang bukan Islam memahami Islam dan mempelajarinya dengan lebih mendalam agar mereka dapat membuang segala prasangka buruk terhadap Islam.
“Pelajarilah Islam, buangkan segala prasangka buruk, Insya-ALLAH kamu akan lihat bahawa Islam itu agama yang sangat indah dan murni, agama Islam yang memiliki sejarah yang begitu agung. Umat Islamnya pula saling mengambil berat antara satu sama yang lain, baik dalam senang mahupun susah.
“Di Barat, Islam umumnya dituding sebagai agama yang melahirkan dan mewujudkan pengganas dan menindas perempuan. Bagaimanakah tanggapan anda terhadap segala tuduhan semacam ini? Semuanya berlaku kerana prasangka yang buruk dan kurangnya wawasan.
Kumpulan fanatik sememangnya wujud dalam mana-mana agama pun di dunia ini. Tapi sayangnya golongan fanatik yang cuma satu peratus itu dipertunjukkan di televisyen dan media-media yang lain, sekali gus pengaruh mereka diperbesar-besarkan.
Sedangkan 99 peratus umat Islam yang lain terus bekerja keras dan hidup dengan aman damai.
Jika semakin ramai orang mempelajari Islam yang sebenarnya, kian bertambahlah yang melihat keindahan Islam,” ujarnya.
Beliau menyedari pengislamannya juga adalah permulaan baru dan banyak lagi yang perlu dilakukan dirinya mengenali Islam.
Kini, sebagai penebus atas kesalahannya membuat Fitna, Van Doorn menyatakan akan membuat karya besar untuk mengangkat Islam.
“Saya berdoa semoga air mata saya ini mampu menghapus segala dosa yang dilakukan pada masa lalu, dan saya akan bekerja untuk menghasilkan karya besar dan ingin mengangkat Islam dan kaum Muslimin setelah kembali daripada ibadah haji,” katanya pada akhir bicara.
0 comments:
Post a Comment