Chukai - “Lepas dengar dentuman kuat, saya terus berlari ke arah lokasi kemalangan dan lihat dua penunggang motosikal terbaring di tepi jalan. Saya periksa tangan mangsa yang tertiarap, nadinya sudah tiada denyutan.
“Namun setelah saya buka topi keledar mangsa, saya terpaku seketika sebab mangsa rupa-rupanya Pak Su saya,” cerita Muhammad Amar Rosdi, 16, yang kebetulan berada berdekatan lokasi nahas melibatkan bapa saudaranya, Muhammad Rozilah Md Yusuf, 35, lewat petang kelmarin.
Dalam nahas kira-kira jam 6.50 petang itu, bapa saudaranya yang juga Jurutera Projek di Syarikat PFCE-CG Sdn Bhd Cawangan Miri, Sarawak, maut serta merta di tempat kejadian akibat patah tulang leher.
Kejadian berlaku di Kilometer 1 Jalan Chukai-Air Putih ketika Muhammad Rozilah dan rakannya yang dikenali sebagai Zaki, 35, yang juga sepupu isterinya sedang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR menuju ke arah Air Putih.
Bagaimanapun, perlanggaran dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Honda City dari arah bertentangan yang dipandu seorang wanita berbangsa Cina dan berusia lingkungan 40-an membuat pusingan U di lokasi kejadian.
Akibatnya, Muhammad Rozilah dan rakannya yang berada di belakangnya tercampak ke atas rumput di tepi jalan sebelum mereka dikerumuni orang awam yang datang memberi bantuan.
Muhammad Amar berkata, semasa nahas itu berlaku, dia bersama keluarganya sedang menjamu selera di sebuah kedai makan kira-kira 500 meter dari lokasi kemalangan.
“Dalam keadaan terkejut, saya ajar Pak Su mengucap, saya bisikkan beberapa kali kalimah syahadah di telinganya. Kawan Pak Su di sebelahnya pula berada dalam keadaan duduk, dia patah kaki dan tak boleh berdiri,” katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Falah di Chukai.
Isteri peluk jasad suami
Suasana di lokasi kejadian bertambah pilu sejurus isteri mangsa, Noraishahtun Abdul Manaf, 35, yang juga Pegawai Akaun PFCE-CG di Paka, Dungun tiba dan memeluk erat jasad suaminya yang sudah terbujur kaku.
Muhammad Rozilah dan isterinya yang menetap di Taman Permai Jaya mempunyai seorang anak, Muhammad Aqil Rayyan yang berusia 5 tahun.
Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik dan berasal dari Kampung Batu 4 Binjai difahamkan pulang ke Kemaman hampir sebulan lalu kerana bercuti panjang.
Sementara itu, seorang lagi anak saudara arwah, Muhaimin Ayub, 15, berkata, bapa saudaranya itu kerap menunggang motosikal sejak seminggu lalu kerana sebelum ini arwah lebih gemar memandu kereta.
“Arwah beli motosikal sudah setahun dan ditinggalkan di rumahnya di sini. Arwah juga aktif mengikuti konvoi motosikal.
“Kali terakhir saya berjumpanya Rabu lalu semasa arwah belanja saya dan sepupu yang lain tengok wayang dan makan di Mesra Mall Kemasik. Arwah sangat pemurah dengan anak-anak saudara. Kehilangannya buatkan kami sangat terasa,” katanya.
Kehilangan besar buat syarikat
Pengarah Urusan PFCE-CG, Wan Azhar Wan Nawang menyifatkan pemergian Muhammad Rozilah sebagai kehilangan besar buat syarikat kerana arwah seorang pegawai yang sangat berdedikasi dan bertanggungjawab.
Katanya, arwah mula bekerja di Miri pada Januari lalu dan telah berkhidmat dengan PFCE sejak 12 tahun lalu sebaik tamat pengajian dalam jurusan kejuruteraan elektrik di UiTM Shah Alam.
“Saya tahu berita sedih ini waktu solat Maghrib. Berita ini sungguh mengejutkan sebelum saya segera datang ke hospital.
“Kali terakhir saya berjumpanya sebulan lepas. Walaupun jawatan arwah adalah jurutera projek, tetapi arwah juga pengurus syarikat di Miri. Kehilangan arwah sukar dicari ganti,” katanya.
Jenazah arwah yang dituntut keluarga kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabor Kubur pada jam 12.30 tengah malam.
0 comments:
Post a Comment