Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 9, 2014

PENGANGGUR DIDENDA MILIKI BUSUR SILANG


Kuantan - Gara-gara gagal memberikan alasan munasabah terhadap senjata bahaya yang dimiliki, seorang penganggur didenda RM800 selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas kesalahan menyimpan busur silang yang dikategorikan sebagai senjata berjadual, di sini, 24 April lalu.

Tertuduh, Lee Min Hooi, 27 dari Lorong Air Putih 68, Jalan Beserah di sini turut berdepan hukuman penjara tiga minggu sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Hukuman diputuskan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali manakala pendakwaan dikemukakan Pegawai pendakwa, Inspektor V Munesvaran.

Tertuduh sebelum itu merayu agar hanya dikenakan hukuman denda paling minimum memandangkan dia tidak bekerja sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun dia tidak menjelaskan berhubung pemilikan senjata itu kepada mahkamah semasa membuat rayuan.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima aduan awam berhubung kehadiran sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di Lorong 8/8, belakang Pangsapuri Blok D, Taman Desa Samudera, Bandar Indera Mahkota kira-kira jam 1 tengah hari 24 April lalu.

Susulan maklumat tersebut polis ke lokasi dan terserempak dengan tertuduh bersama kenderaan yang dimaksudkan.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemui busur silang berada di bahagian belakang dan tertuduh gagal menjelaskan berhubung pemilikannya.

Susulan kejadian tertuduh ditahan manakala senjata terbabit turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

0 comments:

share2