Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 9, 2014

BAPA TERLELAP KETIKA MEMANDU




Raub - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan bas henti-henti di Kilometer 345 Jalan Alternatif Kuala Lumpur - Kota Bharu atas jambatan Kampung Melayu Cheroh, di sini kelmarin.

Arisha Qismina Mohd Dani disahkan meninggal dunia pada jam 7 pagi semalam ketika dalam perjalanan dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHas) Temerloh ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian kira-kira jam 6.45 petang kelmarin itu berlaku ketika mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari Kampung Hulu Sungai menuju ke bandar Raub.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, pacuan empat roda yang dipandu bapa mangsa, Mohd Dani Mohamed Dali, 31, terbabas ke kanan jalan dan seterusnya melanggar benteng jambatan.

“Siasatan awal mendapati Mohd Dani terlelap seketika menyebabkan kenderaan yang dipandu terbabas ke kanan jalan dan seterusnya melanggar benteng jambatan.

“Dalam masa sama, sebuah bas henti-henti yang datang dari arah Cheroh ke Batu Malim tidak sempat mengelak dan melanggar kenderaan mangsa,” katanya.

Menurutnya, pemandu dan kesemua enam penumpang bas terbabit tidak mengalami kecederaan.

“Mohd Dani bersama isterinya juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian berasingan, tiga kereta nyaris musnah apabila kesemuanya hampir dihempap sebatang pokok tumbang di hadapan Rumah Rehat di bandar Raub kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Wan Mohd Samsudin berkata, kereta yang terlibat adalah sebuah Perodua Myvi, sebuah Proton Satria dan sebuah van.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya Perodua Myvi sahaja dilaporkan mengalami kerosakan patah cermin,” katanya.

Katanya, enam anggota Bomba dan Penyelamat, enam kakitangan Tenaga NasionalBerhad (TNB), empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seorang wakil dari Majlis Daerah Raub (MDR) terlibat bagi membantu menyelamat kenderaan terlibat dan membersih pokok tumbang.

0 comments:

share2