Muhammad Imran menyatakan rasa tidak puas hati berhubung proses pemilihan Cabang Lumut, semalam.
Lumut - Perjalanan pemilihan PKR Cabang Lumut berlaku dalam suasana agak tegang apabila calon terlibat membuat beberapa bantahan berkenaan perjalanan pengundian.
Calon Ketua Cabang PKR Lumut, Laksamana Pertama (B) Muhammad Imran Abdul Hamid menyuarakan rasa tidak puas hati apabila proses pemilihan itu dilihat tidak teratur.
Menurutnya, petugas pengundian tidak memberikan buku yang menyenaraikan nama calon bagi memudahkan pengundian.
“Sepatutnya buku berkenaan diedarkan atau diletakkan di meja pengundian supaya perwakilan lebih senang untuk membuat pemilihan.
“Keadaan juga dilihat kurang teratur apabila petugas pengundian tidak bersedia dari awal dari pelbagai sudut,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lumut menyifatkan, proses pengundian telus, namun harus memperbaiki beberapa perkara.
“Kita harap petugas pengundian dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan ini supaya tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya.
Seorang lagi calon ketua cabang, Suwardi Sapuan turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan perjalanan pengundian dibuat, semalam.
Katanya, pelbagai kelemahan berlaku termasuklah pengundi-pengundi dikelilingi oleh orang-orang tertentu ketika membuat pengundian.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana petugas hanya boleh berada di meja bertugas sahaja dan bukannya cuba mempengaruhi pengundi untuk membuat pilihan, ini dikhuatiri akan menimbulkan ketidaktelusan dalam pemilihan.
“Kita ada peraturan yang telah ditetapkan, tapi ada yang tidak mengikut,” katanya.
Jawatan Ketua Cabang PKR Lumut memperlihatkan pertandingan dua penjuru membabitkan Muhammad Imran dengan Suwardi.
Muhammad Imran adalah calon baharu manakala Suwardi pernah memegang jawatan ketua cabang pada 2008 hingga 2010.
Cabang PKR Lumut mempunyai kira-kira 3,000 perwakilan.
0 comments:
Post a Comment