Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 14, 2014

'JANGAN SAMPAI TERIMA KESAN KRONIK'




Shah Alam - Persatuan Pegawai Kesihatan Persekitaran Malaysia (Ehom) menggesa Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan kerajaan negeri segera mengambil langkah sesuai demi kepentingan orang ramai berhubung penggunaan air lombong.

Presiden Ehom, Abd Rahim Muda berkata, pihaknya memandang serius isu berkaitan penggunaan air yang mengandungi kandungan logam berat sebagai air minuman yang dibangkitkan Menteri Kesihatan, Datuk S Subramaniam.

Menurutnya, Ehom merupakan persatuan profesional yang prihatin mengenai impak persekitaran terhadap kesihatan manusia.

“Ehom ingin menegaskan bahawa air minuman yang mengandungi logam berat seperti plumbum, arsenik, radon, kadmium, merkuri dan lain-lain akan mendatangkan kesan kronik yang akan dirasai atau dialami dalam jangka masa panjang.

“Pencemaran logam arsenik yang terdapat secara semula jadi di lombong-lombong tinggal sering dikaitkan dengan penyakit kanser pundi kencing, paru-paru, kulit dan buah pinggang atau prostat kepada lelaki,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

Abd Rahim memaklumkan, di Amerika Syarikat sejak 2006 tahap arsenik telah dipantau dan paras yang dibenarkan hanya 0.010 bahagian per bilion (ppb) sahaja dalam bekalan air minuman awam.

“Piawaian ini untuk memastikan orang awam dilindungi daripada kesan kronik dalam jangka panjang.

“Pihak berkuasa harus bertanggung jawab dengan memaklumkan kepada orang awam mengenai kandungan logam berat dalam air minuman dari semasa ke semasa seperti yang ditetapkan di bawah piawaian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

0 comments:

share2