Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 14, 2014

RIBUT MELANDA FELDA KUMAI




Felda Kumai - Sebanyak 14 buah rumah di tanah rancangan ini mengalami kerosakan harta benda dan atap tercabut semasa kejadian ribut petang kelmarin, apabila tiga daripadanya mengalami kerosakan teruk dengan kos kerugian keseluruhan melebihi RM10,000.

Seorang penduduk, Mek Embong Mohd Nor, 54 berkata, semasa kejadian, dia bersama dua anak, seorang menantu serta lima cucu berada di rumaah tetapi tidak sempat mengalihkan beberapa barangan terutamanya rak pakaian kerana kejadian berlaku sekelip mata.

Menurutnya, mereka sekeluarga tergamam dengan kejadian itu kerana merupakan kali pertama berlaku, malah pada masa yang sama, perlu mengalihkan anak kedua penerokawati itu, Mohd Hanafi Mohd Zahari, 32 yang lumpuh separuh badan ke tempat yang selamat.

“Masa itu, Mohd Hanafi baring dalam bilik tetapi terdengar dia menjerit beritahu atap sudah tercabut. Kebetulan ada kawan yang menziarahi anak saya, jadi dia yang tolong angkat.

“Memang tidak sempat mahu selamatkan semua benda, sebab tiba-tiba sahaja, atap dan tercabut dan terbang. Kereta yang diletak bawah garaj juga turut dihempap tetapi mujur hanya rosak sedikit sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Keadaan Mek Embong yang uzur berikutan kaki kirinya terpaksa dipotong beberapa bulan lepas akibat penyakit kencing manisnya, menyukarkan lagi menyelamatkan barang di rumah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas, Datuk Norol Azali Sulaiman turun padang menziarahi rumah peneroka yang terbabit dengan insiden itu, semalam.

Turut kelihatan, Penolong Pengurus Besar Wilayah Mempaga (Pembangunan Komuniti), Jamaliah Ahmad; Pengurus Rancangan, Jamil Hamid; Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Wanita Felda Wilayah Mempaga, Rabiah Wang Li dan Ketua Peneroka, Basri Husin.

Sementara itu, seorang penerokawati, Rabiah Ismail, 57 berkata, dia dan anak lelakinya tidak menyedari bahagian dapur rumahnya dihempap pokok durian semasa kejadian itu.

Katanya, dia hanya menyedarinya selepas jiran memaklumkan perkara itu kerana pada ketika itu dia berada di ruang tamu.

“Masa itu hujan lebat, dengan petir, guruh dan ribut. Jadi, kami tidak mahu duduk di dapur kerana bimbang kalau ada berlaku apa-apa.

“Tidak sangka pula, pokok durian yang memang selama ini tidak pernah mengeluarkan hasil tumbang akibat ribut kencang,” katanya.

Bagi Mansah Mohd Noh, 50 pula, air hujan yang memasuki rumahnya di bahagian atas akibat atap diterbangkan ribut umpama air terjun yang mengalir ke bahagian dapur.

Menurutnya, semasa kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, bukan sahaja mereka lima beranak perlu menyelamatkan barangan elektrik, tilam dan bantal tetapi juga terpaksa mengharungi air yang melimpah di ruangan dapur rumahnya.

Katanya, lantai dan siling rumahnya basah keseluruhannya di bahagian atas rumah.

Sementara itu, Jamil memberitahu, pihaknya akan menyalurkan bantuan berbentuk barangan untuk membaiki kerosakan atap di semua rumah yang terlibat, selain menuntut insurans rumah setiap peneroka terbabit.

“Kita turut akan memberikan bantuan dari Tabung Bantuan Kebajikan Peneroka. Bagi semua kerosakan major, kita akan melantik kontraktor untuk membaikinya, sementara itu yang lain, kita akan beri bantuan barangan dan meminta mereka baiki sendiri segala kerosakan tersebut,” kata beliau.

0 comments:

share2