Kangar - Perlis menghasilkan kira-kira 1,500 tan metrik Harumanis pada musim ini dengan nilai jualan mencecah RM25 juta sehingga penghujung Mei ini.
Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Zulkifli Amin Mat Jusoh berkata, nilai jualan tersebut sekali gus melonjak ekonomi Perlis terutamanya kepada petani di negeri ini.
Menurutnya, pengeluaran tahun ini sangat memberangsangkan apabila peladang berjaya mengeluarkan hasil tiga kali ganda berbanding musim lalu iaitu hanya 500 tan metrik.
“Satu hektar ladang mempelam Harumanis boleh mengeluarkan buah sebanyak 2,000 kilogram (kg) atau dua tan minima dan maksimum sehingga empat tan.
“Ini bermakna peladang atau penanam Harumanis boleh mendapat pulangan antara RM40,000 sehingga RM80,000 bagi setiap musim sekiranya ladang mereka seluas satu hektar atau lebih,” katanya ketika ditemui di Ladang Harumanis Bukit Bintang, Bintong dekat sini semalam.
Zulkifli berkata, pengeluaran yang meningkat secara mendadak itu berlaku apabila peladang semakin arif dan cekap dalam pengurusan menjaga tanaman mereka hasil tunjuk ajar dari jabatan.
Menurutnya jumlah keseluruhan peladang di Perlis yang berdaftar dengan pihaknya adalah seramai 3,309 peladang di tanah seluas 965.06 hektar.
“Ia termasuk peladang persendirian, ladang Jabatan Pertanian, Universiti MalaysiaPerlis (UniMAP) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau.
“Daripada 965.06 hektar yang ditanam, sebanyak 535.48 hektar ladang mengeluarkan hasil dan itu adalah kejayaan yang patut dibanggakan,”tambah beliau.
0 comments:
Post a Comment