Kuantan – Bukan sekadar aktiviti sukan, 'Brooks Kuantan Half Marathon 2014' yang akan berlangsung pada 11 Mei ini turut mempromosikan Bandar Kuantan sebagai salah satu destinasi pelancongan unggul di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata, larian sejauh 21 kilometer dan 10 kilometer berkenaan akan bermula dari Taman Teruntum seterusnya menyelusuri lokasi pelancongan di daerah ini.
Menurutnya, sehingga kini terdapat lebih 2,000 peserta sudah mendaftar bagi menjayakan larian berkenaan.
“Larian anjuran Dusty Monkeys dengan kerjasama Tourism Pahang ini adalah sebahagian daripada promosi Tahun Melawat Malaysia.
“Jalan-jalan yang akan dilalui ialah yang mempunyai ikon pelancongan termasuk Teluk Cempedak, Taman Gelora, Jambatan Kuantan, perkampungan nelayan Tanjung Lumpur, Kedai Ikan Masin, Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah, Jalan Telok Sisek dan Bangunan Lama Jalan Besar.
“Penyertaan adalah daripada pelbagai negara termasuk Singapura, China, Hong Kong, United Kingdom, Filipina, Korea, Indonesia, Arab, Perancis dan Itali,” katanya pada sidang media sempena larian berkenaan di Taman Budaya, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Idros Yahya.
Beliau berkata, larian ini julung kali diakan dan mungkin akan dijadikan sebagai acara tahunan sebagai membantu menggerakkan industri pelancongan.
“Selepas ini kita akan anjurkan di lokasi berbeza di Pahang sebagai mempromosikan tempat pelancongan menarik dan dijangkakan penyertaan lebih menggalakkan.
“Sebanyak 10 kategori dipertandingkan melibatkan larian sejauh 10 Kilometer dan 21 Kilometer dengan penyertaan terbuka lelaki serta wanita, veteran dan antarabangsa,” katanya.
0 comments:
Post a Comment