Sultan Ahmad Shah sentiasa memberi perhatian kepada hal ehwal dan pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyat Baginda
Tuanku Sultan meneliti watikah Kembara taat setia Diraja Pahang (KTSDP) sempena memuliakan ulangtahun hari keputeraan baginda ke 83, tahun lalu.
KDYMM Sultan Pahang Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, ialah Sultan Pahang V selepas Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah (1932 – 1974), Sultan Pahang IV; Almarhum Paduka Nenda-nenda – Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah (1917 – 1932), Sultan Pahang III; dan, Sultan Mahmud (1914 – 1917), Sultan Pahang II; serta, Almarhum Paduka Moyang, Sultan Ahmad Al-Mu‘adzam Shah (1882 – 1912), Sultan Pahang I.
Dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang V oleh Paduka Adinda, Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Ibrahim selaku Ketua Istiadat pada 7 Mei, 1974 sebelum Baginda, dalam titisan air mata menitahkan; “Beta dengan rasa dukacita, dengan ini memberi keizinan menjalankan Istiadat Pemakaman Almarhum Ayahanda Beta.”
Sejak itu, berlangsunglah pemerintahan sepanjang empat dekad KDYMM Sultan Pahang V, yang dengan keizinan Allah SWT juga, dapatlah negeri ini dibangunkan dengan penuh makmur dan rakyat-jelata Baginda dapat hidup dengan sejahtera.
Dan inilah juga yang telah merapatkan hubungan antara Baginda dengan rakyat-jelata Baginda, yang dimungkinkan dengan hubungan mesra dan langsung Baginda dengan pentadbiran negeri di bawah Kerajaan yang ada.
‘Royal Command’
“Selama 43 tahun Almarhum Ayahanda saya memerintah, memang saya yang ketika itu Tengku Mahkota, telah dititah… menjadi satu ‘royal command’ (titah DiRaja) kepada saya untuk mengiringi Almarhum ke serata negeri.
“‘This foundation’ (asas ini) sudah terbina sejak pemerintahan Almarhum lagi. Ia satu asas yang sangat kukuh, yang menjadi dasar kepada kukuhnya pula tali silaturahim antara pemerintah dengan rakyat.
“Di mana-mana sahaja – masa susah atau senang, Raja Pemerintah akan bersama-sama rakyat. Saya dan rakyat saya berpisah tiada.
“‘It is not in me’ (bukan sikap saya) untuk tidak berbuat apa-apa apabila menyedari rakyat saya dalam kesusahan seperti ditimpa bencana,” titah KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada satu wawancara.
Baginda menitah-luahkan ini tatkala menyentuh mengenai sikap mesra-rakyat Baginda, yang diwarisi daripada Almarhum Sri Paduka Ayahanda, Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah – Sultan Pahang IV, yang memerintah antara 1932 dan 1974
Tanggungjawab lindungi rakyat
Semasa hayat Almarhum Sri Paduka Ayahanda, Baginda dilantik selaku Tengku Mahkota Pahang pada Mei, 1944 ketika usia baharu 14 tahun, hinggalah Almarhum Sri Paduka Ayahanda mangkat pada Mei 1974 atau 30 tahun kemudian.
Lalu Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang ke-V pada 7 Mei 1974 ketika berusia 44 tahun, dan ditabalkan setahun kemudian pada 8Mei 1975.
Pada satu wawancara lain pula, Baginda menitahkan betapa sebagai Raja Pemerintah;
“Adalah suatu amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya dan adalah menjadi tugas saya untuk melindungi rakyat saya…
“Dan menyatu-padukan mereka dalam semangat kekeluargaan yang saling sayang-menyayangi. Tidak ada apa yang lebih menggembirakan saya daripada melihat rakyat saya dikasihi, hidup dalam suasana sejahtera, aman dan bersatu-padu”.
Sepanjang empat dekad pemerintahan Baginda, banyak peristiwa bersejarah tercatat.
Hanya beberapa bulan selepas pertabalan selaku Sultan Pahang V, Baginda dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong pada 21 September 1975.
Dan dalam tempoh ini, Baginda turut dipertanggungjawabkan mengambil-alih tugas-tugas SPB Yang Dipertuan Agong, Tuanku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim selama dua bulan antara 8 Mac dan 2 Mei 1978. Tuanku Yahya Petra telah bercuti melancong selama tempoh tersebut.
SPB Yang Dipertuan Agong Ke-7
Ini disusuli dengan pelantikan Baginda sebagai SPB Yang Dipertuan Agong ke-7 pada 26 April 1979 menggantikan Tuanku Yahya Petra yang juga Sultan Kelantan, yang mangkat pada 29 Mac 1979.
Dalam tempoh Baginda sebagai SPB Yang Dipertuan Agong, negara memasuki dimensi baharu dalam bentuk pemerintahan ‘Raja Berperlembagaan’nya, demi melengkapi unsur ‘Demokrasi Berparlimen’.
Selain hubungan tiga pihak – Raja-Kerajaan-Rakyat menjadi semakin erat dengan keberangkatan Baginda melawat ke seluruh pelosok negara, menemui dan beramah-mesra dengan rakyat-jelata;
Kunjungan-kunjungan rasmi Baginda ke negara-negara luar atau menerima kehadiran dan menghadap ketua-ketua negara luar ke Istana Negara, KualaLumpur pula, telah mengukuhkan lagi hubungan negara di persada antarabangsa.
Dalam tempoh inilah juga, Baginda turut dilantik memimpin pelbagai organisasi nasional termasuklah selaku Ketua Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) oleh Perdana Menteri, Dato’ Hussein Onn pada 1 Julai 1983, serta kekal hingga kini.
Tengku Ampuan Pahang Mangkat
Selepas lima tahun bersemayam di singgahsana pemerintahan negara, Baginda kembali ke Pekan pada 25 April 1984, meneruskan pemerintahan berjiwa rakyat Baginda di bumi negeri tercinta.
Sedang rancak negeri dibangunkan, Baginda terpaksa menghadapi realiti betapa Paduka Isteri yang dikahwini sejak 22 April 1954 – Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajah Afzan Tengku Muhammad, tidak sihat dan memerlukan rawatan.
Maka berangkatlah Baginda mengiringi Paduka Isteri tercinta untuk menjalani rawatan perubatan di Hospital Universiti Stamford, San Francisco, Amerika Syarikat pada 13 Januari 1988.
Dan kembali ke tanahair selepas lima bulan di sana pada 5 Jun 1988. Manusia hanya dapat berikhtiar namun Allah SWT juga yang menentukan. Dalam penuh kesedihan, Baginda terpaksa melepas pergi… Tengku Ampuan Pahang mangkat di Istana Pahang, Kuala Lumpur kira-kira 24 hari kemudian, pada 8.40 pagi, 29 Jun 1988.
Bak kata pepatah, ‘Patah tumbuh, hilang berganti. Selepas kira-kira tiga tahun kemudian, Baginda mengahwini DYMM Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991.
Dekad ketiga dan keempat
Baginda meneruskan kepimpinan Baginda memasuki dekad ketiga pada tahun-tahun 1990-an; dan keempat, pada tahun-tahun awal ‘millennium’ kedua ini (2000), dengan penekanan masih kepada kesejahteraan rakyat-jelata Baginda.
Dalam tempoh dua dekad ini, termasuklah peristiwa sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda pada 8 Mei 1999, yang diraikan dengan penganjuran pelbagai acara, melambangkan pemerintahan utuh dan berkesan Baginda selaku Raja Pemerintah.
Seterusnya kata orang, ialah sejarah – sejarah yang amat berharga, yang dapat menjadi panduan dan pedoman hidup aman-makmur, di bumi Pahang Darul Makmur yang tercinta.
Daulat Tuanku.
0 comments:
Post a Comment