Georgetown - Dari jauh kelihatan bayi berusia setahun ini begitu lincah ibarat tidak ditimpa sebarang masalah.
Namun siapa sangka, tahap kelincahan bayi bernama Muhammad Haidar Nasran Zahidi ini juga menyebabkan sel kansernya semakin aktif.
Disebabkan sel kanser itu jugalah mata kanan bayi ini terpaksa dibuang ketika dia baru saja mencecah usia 56 hari.
Bapa kepada bayi berkenaan, Zahidi Azhar, 36 berkata, anak keempatnya itu normal seperti bayi yang lain selepas dilahirkan.
Namun ketika majlis aqiqahnya, salah seorang tetamu menegur dia ternampak satu cahaya jernih di bahagian anak mata Muhammad Haidar.
“Kerana bimbang kami membawa Muhammad Haidar ke klinik dan dia diberikan ubat titik, sehinggalah beberapa hari selepas itu tiba-tiba mata Haidar membengkak dengan teruk sehingga kemerah-merahan.
“Setelah dibawa berjumpa dengan pakar, mereka mengesahkan ada sel kanser dan mata kanan anak saya terpaksa dibuang, doktor sendiri mengatakan amat jarang bagi bayi seusia Muhammad Haidar pada masa itu membolehkan matanya membengkak sedemikian rupa,” katanya.
Disebabkan hanya sebelah mata yang berfungsi, bayi kecil itu sering kali menyengetkan kepalanya untuk melihat apa yang berada di hadapannya.
Kini Muhammad Haidar telah berusia setahun empat bulan, dia begitu aktif namun pergerakannya itu membimbangkan kedua ibu bapanya.
Ibunya, Noorhayati Samsudin, 32, berkata, doktor memberitahu sel kanser yang terdapat pada bahagian mata anaknya itu masih aktif dan mengikut pergerakan Muhammad Haidar.
“Memang dia sangat aktif, tapi kami mana boleh hentikan pergerakannya kerana dia masih kanak-kanak.
“Doktor memberitahu sel kanser merebak ke mata kiri yang kini masih baik, namun ia dimatikan melalui cara laser, sehingga kini ia masih lagi aktif dan perlu berjaga-jaga,” katanya.
Doktor juga cuba memasang mata palsu bagi menggantikan mata yang sudah dibuang tersebut.
Namun mungkin disebabkan masih kecil dan tidak memahami dia mencabut sendiri mata palsunya itu.
Zahidi yang bekerja sebagai pengurus jenazah itu berkata, anaknya itu tidak dibekalkan sebarang ubat buat masa ini tetapi memerlukan pemantauan secara berterusan dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Sebelum ini memang kami diamkan saja penyakit yang dihidapi Muhammad Haidar, namun selepas rakan memuat naik gambar Muhammad Haidar di lamanfacebook ramai yang membantu anak saya, saya ucapkan terima kasih,” katanya.
Sekiranya orang ramai mahu membantu boleh menghubungi Zahidi di talian 0125574577.
0 comments:
Post a Comment