Kuala Lumpur - Diskriminasi terhadap komuniti HIV positif dilihat semakin berkurangan kerana masyarakat kini semakin memahami cara penularan jangkitan virus itu.
Menurut Roslan Hamzah, sukarelawan Yayasan PT, sebuah badan bukan kerajaan yang membantu penghidap HIV, stigma yang menyebabkan komuniti HIV positif dijauhi masyarakat juga semakin pudar.
"Daripada pemerhatian saya orang semakin faham bukan senang HIV nak berjangkit kepada orang lain, mesti melalui cara tertentu seperti perkongsian jarum bagi penagih dadah dan seks rambang," katanya yang ditemui Bernama pada majlis Hari Memperingati Aids Sedunia 2014, di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan PT Hisham Hussein berkata yayasan berkenaan menjadi tempat bagi golongan HIV positif mendapatkan bantuan untuk menjalani kehidupan seperti manusia biasa.
Beliau berkata yayasan itu berperanan sebagai kaunselor yang memberi bimbingan dan menyuntik kembali semangat penghidap.
"Kita bagi kaunseling...kebanyakan tertumpu kepada kesihatan awam. Golongan sasaran kita di Chow Kit seperti penagih dadah, mak nyah dan pekerja seks," katanya.
Dalam pada itu, Hisham meminta kerajaan supaya meningkatkan bantuan kepada NGO seperti yayasan tersebut terutama dari segi dana, bagi membolehkan lebih ramai golongan terpinggir ini dibantu.
"Kebanyakannya berjaya dibantu Yayasan PT. Bagi penagih mereka berhenti mengambil dadah manakala pekerja seks pula meninggalkan pekerjaan itu dan memulakan hidup baharu," katanya.
0 comments:
Post a Comment