Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 30, 2014

DARI MANA KAMU AMBIL AGAMAMU?




HADIS merupakan sumber rujukan utama terpenting selepas al-Quran. Hadis diperlukan untuk memahami kandungan al-Quran, menjadikan hadis sebagai sumber rujukan dalam Islam yang tidak dapat dinafikan lagi. Oleh demikian, usaha berterusan perlu dilakukan untuk memastikan kepentingan hadis dalam Islam sebagai sumber rujukan tidak tergugat oleh mana-mana faktor.

Peranan hadis perlu dilihat dalam skop yang lebih luas dan hadis ini perlu dikaji dan difahami dalam konteks yang lebih menyeluruh. Rasulullah SAW dibangkitkan ALLAH SWT untuk memimpin umat manusia di dunia ke jalan selamat dan bahagia di dunia dan akhirat.

Baginda SAW adalah rahmat daripada ALLAH yang tidak ternilai harganya kepada seluruh alam semesta sebagaimana yang dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah Al-Anbiya’: 107)

Sebagai seorang rasul yang diutuskan, darjat ketinggiannya mengatasi pemimpin yang lain. Baginda SAW bersifat maksum iaitu terpelihara daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Oleh itu, arah dan tujuan yang dibawanya kepada seluruh umat manusia ini benar dan terjamin.

Baginda SAW memimpin umatnya ke jalan diredai ALLAH iaitu agama Islam. Kini, Baginda SAW sudah tidak ada lagi di dunia ini, tetapi umatnya tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpegang dengan pusaka tinggalannya iaitu al-Quran dan hadis. Melalui dua sumber utama ini, umat Islam sentiasa terpimpin dalam menghadapi kehidupan di dunia yang penuh dengan cabaran.

Sebagai seorang Muslim, kita tidak sepatutnya membesar-besarkan dan menyanjung individu yang lain melebihi Rasulullah SAW sekalipun seorang yang dianggap tokoh, kerana mereka tertakluk kepada kekurangan dan kesilapan yang diakibatkan oleh kelemahan diri masing-masing.

Pemujaan tokoh dan pendewaan terhadap seseorang tidak seharusnya wujud dalam masyarakat Islam kerana kecenderungan mengagung-agungkan seseorang tokoh, kadang-kadang boleh membawa kita kepada penyelewengan dalam ajaran Islam.

Dalam menyampaikan ajaran dan perintah daripada ALLAH, Rasulullah SAW telah memperlihatkan contoh tauladan untuk diikuti oleh umatnya. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesungguhnya, telah ada pada diri Rasulullah SAW itu teladan yang baik bagimu iaitu orang yang mengharapkan rahmat ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat serta yang banyak mengingati ALLAH.” (Surah Al-Ahzab: 21)

Menjadi tanggungjawab bagi umat Islam sekarang untuk mengkaji hadis Rasulullah SAW yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Khazanah ilmu perlu ditambah dan difahami berdasarkan ajaran Baginda SAW bersesuaian dengan kehendak semasa.

Di samping al-Quran, pengajian hadis juga perlu dijadikan sebagai rujukan dan penggerak kepada penemuan baharu dalam era globalisasi ini.

Sejarah membuktikan kepada kita sarjana Islam terdahulu dapat menguasai pelbagai bidang ilmu kerana kesungguhan mereka dalam memikul beban dan tanggungjawab yang difardukan ALLAH dalam pengkajian dan penerokaan ilmu pengetahuan.

Penemuan dan penciptaan baharu dalam apa jua bidang bagi umat Islam bukanlah sesuatu yang sekadar boleh dibanggakan, namun apa yang lebih penting ialah ia suatu tanggungjawab untuk mengimarahkan kehidupan manusia di muka bumi.

Melihat kepentingan bagi kita mengetahui daripada mana mendapatkan sumber ilmu ini, Rumah Ngaji di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas tampil dengan program siri syarahan yang menampilkan topik menarik yang merangkumi huraian dan penerangan akan tujuan manusia dihidupkan di muka bumi ini, membicarakan akan kepentingan ilmu, menyentuh hal berkaitan al-Quran, hadis dan sunnah, sejarah Islam dan akidah.

Dari Mana Kamu Ambil Agamamu? adalah topik yang dibentangkan pada 25 Mei lalu dalam kuliah agama yang bermula jam 9 pagi sehingga 12.30 tengah hari.

Dalam modul ini, kita dijelaskan dengan sumber ilmu yang sahih iaitu al-Quran, hadis dan Sunnah.

Syarahan ini disampaikan oleh graduan lepasan Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang ilmu wahyu dan mempunyai ijazah sarjana dalam bidang pengajian Islam dari Universiti Oxford, Ustaz Abu Hafiz Saleh Hudin.

Diharapkan dengan program ini yang merangkumi pelbagai topik pilihan dapat membuka ruang kepada masyarakat, terutama untuk lebih mendalami dan menambah kefahaman terhadap masalah yang sering berlaku dalam masyarakat.

Sedikit sebanyak program ini dapat membetulkan salah faham tentang peranan hadis sebagai sumber rujukan dalam Islam.

Untuk maklumat lanjut berkaitan program siri syarahan khas ini, boleh layari Facebook Rumah Ngaji atau hubungi 03-5101 3789.

0 comments:

share2