Kuala Lumpur - Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye hari ini menyarankan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menjual produk cermin gelap menyalahi spesifikasi ditetapkan oleh agensi itu.
Ini kerana kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia itu ada peniaga yang menipu pelanggan dengan mendakwa produk mereka diluluskan oleh JPJ.
Tindakan penguatkuasaan perlu dibuat secara menyeluruh, bukan sahaja terhadap pengguna tetapi juga kepada pembekal dan peniaga, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.
Selain itu, Lam Thye berkata siasatan juga perlu dilakukan ke atas kereta import terpakai yang telah siap dipasang cermin gelap dan lulus pemeriksaan Pusat Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk tujuan pendaftaran.
Bagaimana kenderaan ini boleh diluluskan jika cermin gelap yang dipasang itu melanggar undang-undang, katanya.
Lam Thye turut menyambut baik tempoh sehingga 15 Jun yang diberi oleh JPJ kepada pemilik kenderaan bagi menukar cermin gelap kepada yang mematuhi spesifikasi.
Pemasangan cermin gelap bukan satu-satunya penyelesaian untuk mengekang haba kerana sekarang terdapat banyak produk plastik kalis haba yang lut sinar dan diluluskan oleh JPJ, katanya.
Beliau turut menyarankan pihak berkuasa menjalankan operasi terhadap kenderaan yang menggunakan lampu hadapan tidak mengikut spesifikasi sehingga membahayakan pengguna lain.
Ada kenderaan yang mempunyai lampu hadapan terlalu terang sehingga menyebabkan silau pemandu lain, katanya.
Beliau juga meminta pihak berkuasa memantau penggunaan lampu mata arah oleh pihak tertentu untuk mengelirukan pengguna jalan raya yang memberi laluan kerana menyangkakan kenderaan polis.
0 comments:
Post a Comment