Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 4, 2014

AJAL DUA SAHABAT BAIK WARGA EMAS


Yahaya Othman

Pekan - Walaupun sudah begitu hampir, namun dua warga emas yang juga sahabat baik tidak sempat sampai ke rumah mereka selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 5 jalan Pekan-Batu Balik petang kelmarin.

Dalam nahas pada jam 2 petang itu, Bunyamin Abdul Kadir, 67, dan Abdul Mutalib Yusof, 77, masing-masing maut selang satu jam setengah ketika mendapat rawatan kecemasan di Hospital Pekan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, kedua-dua mangsa yang juga warga Kemboja itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Baru Pulau Keladi dengan menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berkenaan turut melibatkan seorang wanita berusia 55 tahun berasal dari Kampung Padang Polo yang memandu kereta jenis Nissan Grand Livina.

“Wanita berkenaan sedang di dalam perjalanan dari Chini menuju ke bandar Pekan, namun ketika tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa yang datang dari arah bandar tiba-tiba membelok ke kanan jalan untuk masuk ke simpang Kampung Baru Pulau Keladi.

“Tindakan motosikal yang membelok secara tiba-tiba dan dalam jarak yang terlalu hampir menyebabkan pemandu kereta tidak sempat menekan brek sebelum merempuh motosikal berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Yahaya berkata, mangsa pertama iaitu Bunyamin mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan, namun dia disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang hari yang sama.

“Pembonceng iaitu Abdul Mutalib pula mengalami kecederaan patah kaki kanan dan dibawa ke hospital sama bagi tujuan rawatan sebelum pihak hospital memaklumkan bahawa mangsa turut meninggal dunia pada jam 7 petang iaitu selang satu jam setengah dari sahabatnya,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis berkaitan kes berkenaan.

Menurutnya, jenazah kedua-dua mangsa telah dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan dan kes berkenaan masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments:

share2