Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 24, 2014

RATUSAN IKAN DITEMUI MATI

Melaka - Ratusan pelbagai spesies ikan laut dan air tawar ditemui mati di muara Sungai Melaka berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini.

Insiden itu dilaporkan berlaku sejak semalam melibatkan antaranya spesies ikan bawal, kitang, belanak dan keli.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Melaka Abd Hapiz A Samad berkata pemeriksaan mendapati kejadian itu bukan disebabkan pencemaran air khususnya dari kawasan perindustrian berhampiran.

"Ia disebabkan kandungan oksigen yang terlarut dalam air dilapor berkurangan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Beliau berkata ia juga mungkin ekoran hujan lebat pada Isnin lepas menyebabkan air dari hulu Sungai Melaka melalui kawasan bandar dan membawa bahan organik iaitu pelepasan dari sisa dapur rumah dan restoran.

Abd Hapiz berkata, apabila empangan muara sungai ditutup bahan organik terbabit tidak dapat mengalir ke laut menyebabkan ia mereput serta mengeluarkan kandungan karbon dioksida yang tinggi.

Katanya kadar kemasinan air di kawasan itu juga rendah iaitu pada bacaan tujuh menyebabkan ikan laut berkenaan mati.

"Mungkin ikan laut masuk ke muara sungai tersebut pada waktu air pasang dan terperangkap selepas empangan di muara berkenaan ditutup dan berlakunya perubahan habitat yang menyebabkan ikan itu tidak dapat hidup lama," katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk HasanAbdul Rahman berkata pihak berkuasa diminta memantau kejadian itu dan mengambil langkah segera mengatasinya supaya tidak menjejaskan hidupan laut serta menyebabkan kehilangan sumber pendapatan nelayan.

0 comments:

share2