Maran - Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Jengka 5 cedera dengan lapan jahitan di kepala akibat dipukul dalam satu kejadian samun di Felda Jengka 5, kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.
Dalam kejadian itu, ibu bapa bersama isteri serta tiga anak mangsa yang sedang tidur turut alami detik cemas apabila kediaman mereka dimasuki tiga lelaki bersenjatakan kayu dan parang panjang.
Mangsa, Mohd Zaidi Ahmad, 32, berkata, keadaan bilik ibu dan bapa yang gelap sementara lampu ruang tamu menyala menyebabkan dia mencurigai sesuatu ketika pulang dari memancing di kolam dekat Jengka 3.
Menurutnya, ketika memberhentikan kereta di hadapan rumah, dia terkejut mendapati seorang lelaki menunggu di luar dengan memegang sebatang kayu dalam keadaan sedia untuk menghayun.
“Saya cuba untuk mengelak namun sebaik keluar dari kereta, kayu itu sudah singgah di kepala sebelum berlaku pergelutan.
“Ketika menahan beberapa pukulan, saya ternampak seorang lagi rakan penyamun bersaiz besar dan tinggi di luar pagar rumah.
“Menyedari mungkin sukar untuk melawan balas, saya berlari ke jalan raya sejauh kurang 100 meter untuk meminta pertolongan jiran,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Ahmad Sirus, 74, berkata, dia yang sedang tidur bersama isteri di bilik tersedar apabila mendengar bunyi kuat pintu dapur dipecahkan dan terkejut melihat tiga lelaki tidak dikenali berada di hadapan mereka.
Menurutnya, tiga lelaki yang memakai topi dengan kain penutup mulut itu menghunus parang dan kayu sambil meminta wang.
“Bilik menantu dan tiga cucu terletak bertentangan dan ketiga lelaki itu berulang-alik selongkar bilik kami,” katanya.
0 comments:
Post a Comment