Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 13, 2014

LIPIS: SEKELUARGA BERDEPAN DETIK CEMAS




Kuala Lipis - “Ketika sedang berehat di dalam bilik, tiba-tiba saya terhidu bau asap lantas menjenguk ke bilik belakang dan terkejut apabila melihat api yang kian marak.

Demikian kata mangsa kebakaran, Norfatihah Mazlan, 26, ketika menceritakan detik cemas kejadian kebakaran yang memusnahkan sebahagian kediaman milik keluarganya di Kampung Berembang, Mukim Gua di sini kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Menurutnya, sewaktu kejadian berkenaan berlaku, dia tinggal bersama dengan adik perempuan serta dua orang anak lelakinya masing-masing berusia 5 dan 6 tahun.

“Sejurus melihat api berkenaan saya bertindak memanggil adik dan dua orang anak untuk keluar segera dari rumah serta cuba menyelamatkan barang-barang yang penting sahaja termasuk pakaian dan barangan elektrik.

“Walaupun sedih dengan kejadian kebakaran ini namun saya bersyukur kerana kesemua ahli keluarga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, kelmarin.

Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Haslizan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan telefon berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 5.03 petang sebelum tiba 12 minit kemudian.

“Dua jentera bersama 12 anggota bomba tiba di tempat kejadian dan kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal api supaya tidak merebak ke bahagian rumah lain.

“Kebakaran bermula daripada bilik belakang dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

0 comments:

share2