Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 13, 2014

KUANTAN: LELAKI TAK SIUMAN BUAT HURU-HARA




Kuantan – Tindakan seorang lelaki berusia 50-an yang secara tiba-tiba membuat huru-hara di sebuah kedai makan di Lorong Seri Teruntum, di sini, menyebabkan kesemua pelanggan lari lintang-pukang kerana terkejut dan bimbang dicederakan.

Lelaki yang tinggal berhampiran kedai makan itu didakwa tidak siuman dan dikatakan sering membuat kacau di kawasan itu.

Pemilik kedai makan, Chan Ai Chai, 64, berkata, dia sudah berniaga di kawasan itu sejak lima tahun lalu dan kedainya sering menjadi sasaran lelaki berkenaan.

Menurutnya, lelaki itu bertindak membaling kerusi meja, pinggan mangkuk dan makanan yang dihidangkan kepada pelanggan.

Katanya, dalam tempoh lima tahun boleh dikatakan sudah 20 kali lelaki itu datang membuat kacau di kedai kami.

“Seperti kejadian kira-kira jam 8 pagi ini, lelaki itu tiba-tiba mengamuk dan memaki-hamun membuatkan semua pelanggan bertempiaran lari.

“Habis pinggan mangkuk pecah, kerusi meja bertaburan dibalingnya dan selepas itu dia keluar dari kedai.

“Tindakan itu membuatkan kami sebagai peniaga mengalami kerugian dan sebelum ini beberapa kali laporan polis sudah dibuat tetapi kejadian begini masih berulang.

“Tahun ini sudah dua kali dia bertindak membuat kacau dan difahamkan lelaki itu tidak siuman, tetapi keluarga tidak mahu menghantarnya ke hospital untuk rawatan serta hanya dibekalkan ubat sahaja.

“Selepas kejadian pagi tadi, saya membuat laporan polis dan dia sudah berjaya ditangkap di rumahnya oleh anggota polis,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Sementara itu, Adun Teruntum, Sim Chon Siang berkata, sebaik dimaklumkan kejadian berkenaan, beliau bergegas ke lokasi dan mengiringi mangsa membuat laporan polis.

“Lelaki itu berjaya diberkas beberapa jam selepas kejadian dan dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

“Difahamkan, lelaki berkenaan akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan jika disahkan kurang siuman dia akan diberikan rawatan tetapi jika didapati normal, prosedur biasa akan dikenakan terhadapnya kerana menimbulkan huru-hara,” katanya.

0 comments:

share2