KEBELAKANGAN ini sering kedengaran perkara yang pelik-pelik dibangkitkan selebriti agamawan segera, berikutan publisiti media, program realiti TV serta penampilan yang dibuat-buat bagi menarik perhatian.
Ada yang kerjanya mengkafirkan orang. Orang lain semua tidak betul, dia sahaja yang betul. Ada juga memberikan pendapat yang pelik tanpa melakukan penyelidikan atau rujukan lebih mendalam.
Lebih teruk lagi, ada yang membawa cerita Israeliat, cerita tidak masuk akal, semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai dan menjadikan mereka menangis. Lebih menyeramkan ada yang buat-buat suara ‘gatal’ dan mendayu-dayu. Lebih dahsyat lagi, ada sudah berani demand dengan meletakkan sekian harga untuk ceramah yang ‘biasa-biasa je’. Kami yang lama ini pun tidak sebegitu berani.
Terbaharu, ada kalangan mereka yang terlebih berani memberikan pandangan mengenai Bani Tamim, kononnya terdiri daripada kalangan orang Melayu atau merujuk kepada Tanah Melayu, hasil kombinasi huruf ‘ta’ dan ‘mim’. Saya terkejut. Ini belum lagi kontroversi menghalalkan darah Ikhwanul Muslimin, pimpinan Mohamed Mursi, dengan menyokong tindakan kejam dan zalim Abdel Fattah al-Sissi, di Mesir.
Kontroversi isu ini menjadikan saya berminat untuk membuat pembacaan mendalam mengenai Bani Tamim. Hasilnya, saya tidak berani untuk membuat kesimpulan atau menyokong mana-mana teori yang dikemukakan. Ia memerlukan kajian mendalam dan pengkhususan.
Kita tidak boleh begitu obsesif membuat kesimpulan simplistik. Apatah lagi untuk mengaitkan dengan huruf ‘ta’ dan ‘mim’. Justeru, nasihat saya kepada asatizah ‘segera’ ini, jangan terlalu obses untuk menjadi selebriti, sabar. Latih diri dahulu dengan permainan politik lensa.
Kurangkan bercakap jika ia bukan bidang kita. Jika kurang pasti, perlu merujuk kepada pakar. Tidak boleh memberi pendapat semberono. Akhirnya menjadi bahan ketawa dan menjatuhkan reputasi sendiri. Kemudian, terhegeh-hegeh untuk membela diri.
Saya bukanlah berlatar belakangnya agama seperti asatizah yang lain, apatah untuk menjadi pakar. kecuali dalam bidang saya. Apatah lagi, saya ini mualaf sahaja. Namun, saya sentiasa sentiasa berhati-hati ketika mengeluarkan pandangan.
Untuk lebih selamat, saya cadangkan beberapa perkara. Pertama, buat penyelidikan dan pembacaan mendalam dahulu sesuatu fakta. Jika tidak tahu, bertanya kepada yang tahu dan pakar. Paling selamat, jawablah, “saya tidak tahu, tanyalah kepada yang pakar”.
Kedua, sambung mengaji ke peringkat lebih tinggi. Buat pengkhususan dalam bidang tertentu. Bagi yang tiada ijazah, berpada-pada apabila bercakap atau menulis. Bukan apa, apabila mendengar ceramah yang penuh dengan cerita tidak masuk akal atau cerita pelik-pelik, Nampak sangat orang sebegini tidak mengaji, kemudian mengaku mendapat ijazah dari al-Azhar.
Ketiga, kadangkala kita terlalu taksub dengan pandangan mereka yang mengaku diri mereka keturunan Rasulullah SAW. Benar, tidak dinafikan keturunan nabi itu adalah mulia dan hebat. Kita sayang kepada keturunan Nabi.
Namun, ia tidak boleh terhenti sekadar keturunan. Keturunan Nabi mesti disertai dengan akhlak mulia dan jejak langkah Nabi. Saya masih teringat seorang keturunan Syed mengaku dia keturunan Nabi, sanggup mendera dan menceraikan isterinya mualaf Cina yang dikahwininya sekian lama, hanya kerana setelah mendapati dirinya keturunan Nabi dan mulia, maka dia tidak layak untuk berkahwin dengan mualaf Cina. Maka, diceraikanlah isteri tuanya dan dicari isteri baharu bernama Sharifah.
Ingat, tidak semesti keturunan Rasulullah semuanya baik-baik dan bakal penghuni syurga. Naik muak juga apabila pendakwah dari seberang yang sedang aktif berdakwah di negara kita, maka dibesar-besarkan isu beliau adalah keturunan Nabi.
Ramai keturunan Syed dan Sharifah yang saya kenali, perangai dan akhlak mereka tidak macam Nabi. King Jordan juga keturunan Nabi, tetapi menjadi tali barut Yahudi.
Imam As-Shafie pernah berpesan, yang berbunyi, apabila seseorang baru belajar tergesa-gesa ke hadapan (kerana mahu menjadi tokoh), maka akan terluput daripadanya ilmu yang banyak.
Tidak ada masalah untuk beraksi di media, malah ia amat dituntut dalam perjalanan dakwah moden hari ini. Tetapi cerminlah diri dahulu, kemudian baharulah beraksi.
0 comments:
Post a Comment