Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 22, 2014

DERITA BARAH TAHAP 4




Kuala Lipis - “Dulu saya ada buka warung makan berhampiran rumah tetapi sejak disahkan menghidap kanser payudara, saya terpaksa tutup perniagaan”.

Demikian rintihan seorang ibu tunggal dari Kampung Sungai Ular, Normazi M Noor, 56, yang menderita barah payudara tahap empat sejak setahun lalu.

Normazi berkata, walaupun menerima wang sara hidup Lembaga Kemajuan Pertubuhan Peladang (LKPP) sebanyak RM1,800 namun tidak mencukupi untuk menampung kos perubatan dan perbelanjaan harian selain turut menanggung tiga anak masih belajar.

“Selepas menjalani rawatan kemoterapi Hospital Kuala Lumpur, doktor mengesahkan berlaku jangkitan kuman dalam darah dan saya terpaksa keluar belanja yang tinggi bagi menampung kos perubatan.

“Doktor juga menyarankan saya menjalani pembedahan membuang ketulan kanser berkenaan pada 2 Mei ini namun dengan hanya bergantung pada wang sara hidup ia masih tidak cukup untuk menampung kos pembedahan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini dia begitu terkejut dan masih tidak percaya dengan penyakit yang dialaminya.

“Dalam tempoh kira-kira empat bulan sejak Januari lalu, saya sering tidak sihat selain terpaksa menerima suntikan untuk tambah darah dan menjalani pemeriksaan dengan pengambilan contoh tisu saya.

Normazi berkata, adalah diharapkan kepada mana-mana pertubuhan, badan bukan kerajaan yang ada kaitan dengan kanser atau badan korporat dapat membantu meringankan beban menanggung kos perubatan penyakitnya itu.

Sehubungan itu, sekiranya ada mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan boleh menghubungi Normazi di talian 017- 6625426 atau terus menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (0610629844908668).

0 comments:

share2