Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 14, 2014

BERGURAU AKAN MATI MUDA




Tanah Merah - “Aku tak sempat dah nak kahwin sebab akan mati muda tetapi tak apa kerana aku tak banyak dosa,” kata Salmah Othman, ibu kepada remaja yang mati lemas di Sungai Kelantan, Kampung Pasir Besar, dekat sini, semalam.

Salmah, 42, bagaimana pun tidak menyangka gurauan anak ketiganya itu akan menjadi kenyataan apabila Muhamad Fikri Salman Fauzi, 16, ditemui mati lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di sungai berkenaan, petang kelmarin.

Salmah berkata, gurauan itu dibuat Allahyarham Muhammad Fikri Salman beberapa hari sebelum kejadian apabila arwah turut dikaitkan dalam perbincangan mengenai perkahwinan seorang abangnya.

“Arwah berkata demikian apabila saya, dia dan abangnya bersembang siapa yang patut kahwin dulu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Pasir Besar, dekat sini, semalam.

Anak ketiga daripada enam beradik itu dilaporkan hilang ketika mandi bersama tujuh lagi rakannya di sungai tersebut kira-kira jam 5.15 petang kelmain sebelum mayatnya dijumpai pada jam 10.30 pagi, semalam.

Salmah yang sudah berpisah dengan bapa Muhamad Fikri Salman memaklumkan, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya yang tinggal bersama bekas suaminya, Fauzi Mat Nor sehari sebelum kejadian.

“Dia datang rumah saya malam Khamis dan ada minta wang RM1 untuk beli rokok. Dia kata, kalau tak boleh RM1, dapat 50 sen pun jadi dan selepas ini, dia tak akan minta lagi,” katanya.

Tambahnya, dia juga terkilan kerana tidak sempat memasak nasi goreng yang menjadi makanan kegemaran Muhamad Fikri Salman apabila diberitahu anaknya itu dipercayai lemas ketika mandi.

“Dia sepatutnya datang makan nasi goreng di rumah saya pada hari kejadian tetapi sampai ke petang dia tak datang sehinggalah seorang abangnya beritahu, dia lemas di sungai,” kata Salmah.

Sementara itu, Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba, Hanaffi Mohd berkata, mayat mangsa yang tidak bersekolah itu ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat yang turut disertai anggota bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai cuba menyeberangi sungai dengan berjalan kaki kerana air cetek sebelum terjatuh dan terkapai-kapai dipercayai akibat terjerlus,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha yang turut berada di lokasi kejadian merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap, mereka bersabar dengan ujian yang menimpa.

“Selain meninjau lokasi kejadian, saya sempat mengunjungi rumah ibu mangsa di Kampung Rambai dan menyampaikan sumbangan kewangan bagi meringankan beban mereka,” katanya.

0 comments:

share2