Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 16, 2014

ULAR MASUK RUMAH DI MUSIM PANAS




Temerloh - Ancaman daripada haiwan liar khususnya ular berbisa yang memasuki kediaman penduduk di negeri ini menunjukkan peningkatan apabila jumlah kes tangkapan ular pada tahun lalu meningkat kepada 430 kes berbanding 364 kes pada tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Nazili Mahmood berkata, peningkatan sebanyak 28 peratus itu disebabkan keadaan habitat haiwan berkenaan yang terganggu akibat penerokaan hutan sekali gus menyebabkan haiwan berbisa ini mencari tempat perlindungan baharu.

“Cuaca panas ketika ini juga menyebabkan ular mencari kawasan yang sejuk. Sebanyak 111 panggilan untuk tangkapan ular diterima setakat bulan Februari ini sahaja.

“Untuk itu orang ramai dinasihatkan supaya menghubungi pihak bomba sekiranya ada ular memasuki rumah dan jangan mengambil tindakan yang boleh membahayakan nyawa," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis bomba bersama masyarakat di Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Hashnuddin Hussin.

Tambahnya, faktor kediaman penduduk yang tidak bersih dan bersemak juga menggalakkan reptilia berbisa ini memasuki kawasan rumah mereka.

Beliau memberitahu, antara ular berbisa yang sering memasuki rumah termasuk ular kapak, ular senduk dan ular tedung selar yang boleh mengancam nyawa.

Dalam pada itu kata beliau, pihaknya sentiasa bersedia menangani ancaman daripada haiwan berbisa seperti ular dan mempunyai anggota yang berkemahiran selain dilengkapi pelbagai peralatan.

Katanya, setakat ini kes-kes tangkapan ular dapat ditangani dengan baik dan tiada kes kritikal akibat patukan ular berbisa dalam kalangan anggota dilaporkan.

Sementara itu katanya, selain menangani ancaman ular berbisa, pihak bomba juga membantu penduduk menangani ancaman serangga berbisa lain seperti tebuan dan lebah.

Beliau berkata, sebanyak 596 panggilan melibatkan ancaman lebah dan tebuan diterima pada tahun lalu manakala sebanyak 552 panggilan yang sama diterima pada tahun sebelumnya.

0 comments:

share2