Maran - Kerajaan negeri mengarahkan penguat kuasa Pejabat Tanah dan Daerah bertindak tegas terhadap aktiviti penerokaan tanah kerajaan secara bersindiket bagi mengaut keuntungan mudah.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, individu atau kumpulan terbabit dikesan meneroka kawasan hutan milik kerajaan di setiap daerah bagi tujuan komersial.
Tegasnya, kerajaan negeri sangat memandang serius kegiatan tersebut dan tidak akan berdiam diri dengan mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah menyiasat dan bertindak ke atas mereka yang terbabit.
Kerajaan negeri tidak lagi berkompromi dan akan membanteras aktiviti sindiket ini kerana jelas kumpulan ini tidak mempedulikan undang-undang malah dalam jangka panjang boleh menjejaskan hasil kerajaan negeri akibat berlaku ketirisan cukai tanah.
Mereka yang terbabit akan ditangkap dan didakwa di mahkamah sebagai pengajaran kepada orang lain agar mereka tidak tamak haloba dengan meneroka khazanah alam itu sesuka hati.
Namun demikian, penerokaan tanah secara haram negeri ini masih terkawal dan pihak penguat kuasa akan terus bertindak dari semasa ke semasa demi menjaga kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Serbaguna Kampung Kuala Sentol dekat sini kelmarin.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin; ADUN Chenor, Mohamed Aripin Awang Ismail; ADUN Luit, Norhidayah Mohd. Shahaimi serta Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh.
Adnan berkata, negeri ini kini sudah kekurangan tanah berikutan banyak ladang sawit dan getah dibuka manakala tanah yang adapun adalah kawasan rezab tadahan air, hutan simpan dan sebagainya.
Tegasnya, jika aktiviti penerokaan tanah berterusan tanpa kawalan, negeri ini akan mengalami kehabisan tanah untuk dibangunkan dengan projek pembangunan untuk rakyat terbanyak.
0 comments:
Post a Comment