Kuala Lumpur - Episod kehilangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) kini tertumpu kepada dua penumpang misteri yang menaiki pesawat itu menggunakan pasport palsu milik warganegara Itali dan Austria.
Ketika anggota keluarga penumpang semakin resah apabila tiada penemuan selepas lebih daripada 24 jam, misteri dua penumpang itu menimbulkan pelbagai teori yang mengaitkan mereka dengan kehilangan pesawat MH370.
Selain memfokus kepada teori pesawat terhempas, laporan media asing dilihat mengaitkan kemungkinan MH370 dirampas atau meletup di udara.
Bagaimanapun, teori pesawat itu meletup di udara mungkin ditolak setelah akhbar The New York Times, yang memetik pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) hari ini sebagai berkata data pemantauan awal yang diperiksa Pentagon mencadangkan MH370 tidak meletup di Laut China Selatan semalam berdasarkan sistem pemantauannya di seluruh dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika mengulas kemungkinan terdapat unsur ancaman pengganas, berkata kerajaan tidak akan membuat sebarang kesimpulan tanpa bukti kukuh.
"Sekarang tak ada bukti kukuh, macam-macam teori melayang. Kita terpaksa mencari semua kemungkinan petunjuk dan kena siasat sebelum membuat kesimpulan kukuh," kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyatuan Nasional 2014 di sini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) Datuk Azaharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya menyiasat pelbagai aspek, termasuk sama ada pesawat itu dirampas, namun tidak dapat mengesahkannya selagi MH370 belum dijumpai.
Pesawat Boeing 777-200 itu dilapor hilang daripada radar kira-kira dua jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi menuju Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi.
Sehingga kini nasib pesawat itu, yang membawa 227 penumpang dari 14 negara termasuk 38 rakyat Malaysia selain 12 anak kapal, tidak diketahui.
Azaharuddin dalam sidang medianya mengesahkan dua penumpang misteri itu menaiki MH370 dan pihaknya mempunyai rakaman kamera litar tertutup sewaktu mereka mendaftar masuk ke dalam pesawat berkenaan.
Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan terperinci akan memberi tumpuan khusus kepada Jabatan Imigresen cawangan KLIA.
"Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya.
Mengikut laporan agensi berita CNN, dua penumpang misteri itu membeli tiket penerbangan secara bersama melalui China Southern Airlines.
CNN turut melaporkan pasport dua warganegara itu dilapor hilang beberapa tahun lepas di negara Asia Tenggara dan pihak berkuasa Itali serta Austria mengesahkan tiada rakyat mereka menaiki pesawat MH370.
Sementara itu, Pegawai Meteorologi Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia Khairul Najib Ibrahim berkata tiada sebarang perubahan cuaca ketara berhampiran perairan negara yang dilihat boleh mengancam penerbangan pesawat MH370 sewaktu ia dilaporkan hilang.
Sehingga 8.30 malam dalam sidang media terakhir semalam, Azaharuddin mengesahkan operasi mencari dan menyelamat yang menyaksikan penglibatan sejumlah 34 pesawat dan 40 kapal laut membabitkan aset negara dan luar negara, masih gagal mengesan pesawat MH370.
#PRAY4MH370
0 comments:
Post a Comment